Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran teliti cadangan damai Amerika untuk tamatkan perang, namun tuntutan utama masih belum selesai

Anggaran Waktu Membaca:
  Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran teliti cadangan damai Amerika untuk tamatkan perang, namun tuntutan utama masih belum selesai

Peta menunjukkan Selat Hormuz. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 07 May 2026 07:20AM Dikemas Kini : 07 May 2026 07:21AM
ISLAMABAD: Iran menyatakan pada Rabu (6 Mei) bahawa mereka sedang meneliti cadangan damai daripada Amerika Syarikat.

Menurut beberapa sumber, cadangan itu bertujuan menamatkan peperangan secara rasmi, walaupun isu-isu utama seperti program nuklear Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz masih belum selesai.

Jurucakap kementerian luar Iran melaporkan bahawa Tehran akan memberikan maklum balas tidak lama lagi.

Presiden Donald Trump pula percaya bahawa Iran memang mahukan satu persetujuan dicapai.

"Mereka mahu buat perjanjian. Kami sudah mengadakan perbincangan yang sangat baik dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan ada kemungkinan besar kita akan mencapai kata sepakat," kata Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Meja Bundar pada Rabu.

Sebelum itu, Encik Trump kelihatan kurang yakin.

Dalam catatan di media sosial Truth Social, beliau sempat mengugut untuk memulakan semula pengeboman ke atas Iran jika Tehran menolak cadangan terbaharu itu.

Encik Trump berulang kali menyuarakan harapan untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari lalu, namun setakat ini belum berjaya.

Kedua-dua pihak masih bertelingkah mengenai isu besar, terutamanya cita-cita nuklear Iran dan kawalan ke atas Selat Hormuz, yang merupakan laluan bagi satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Sumber dari Pakistan yang menjadi orang tengah menyatakan bahawa kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan mengenai satu dokumen ringkas untuk menamatkan konflik.

Dokumen ini akan menjadi langkah awal untuk berbincang mengenai pembukaan laluan kapal, penarikan sekatan ekonomi Amerika Syarikat ke atas Iran, dan mengehadkan program nuklear Iran.

Bagaimanapun, agensi berita Tasnim di Iran melaporkan bahawa terdapat beberapa syarat dalam cadangan Amerika Syarikat itu yang tidak boleh diterima oleh pihak Tehran.

Seorang ahli parlimen Iran, Ebrahim Rezaei, menyifatkan teks tersebut lebih kepada "senarai impian Amerika" berbanding kenyataan sebenar.

HARGA MINYAK JATUH

Laporan mengenai kemungkinan perjanjian damai ini menyebabkan harga minyak dunia jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua minggu.

Harga minyak mentah Brent turun 11 peratus kepada sekitar AS$98 (S$124) setong sebelum naik semula sedikit di atas AS$100 (S$128).

Pasaran saham global juga melonjak naik kerana pelabur optimis bahawa perang yang mengganggu bekalan tenaga ini akan berakhir.

Pada Selasa (5 Mei), Encik Trump menghentikan sementara misi tentera laut untuk membuka Selat Hormuz sebagai tanda kemajuan dalam rundingan damai.

Sekalipun demikian, sekatan laut oleh Amerika Syarikat ke atas kapal-kapal Iran masih diteruskan. Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melaporkan tenteranya menembak sebuah kapal tangki Iran pada Rabu kerana cuba melanggar sekatan tersebut.

TUNTUTAN UTAMA BELUM JELAS

Rundingan pihak Amerika Syarikat itu diketuai oleh utusan Encik Trump, Steve Witkoff, dan menantunya, Jared Kushner.

Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian awal ini, mereka akan memulakan rundingan terperinci selama 30 hari untuk mencapai perjanjian penuh.

Perjanjian penuh itu dijangka akan menamatkan sekatan laut oleh kedua-dua pihak, menarik balik sekatan ekonomi Amerika, dan melepaskan dana Iran yang dibekukan.

Ia juga akan merangkumi sekatan ke atas program nuklear Iran.

Namun, beberapa tuntutan penting Washington sebelum ini - seperti menghentikan program peluru berpandu Iran dan sokongan terhadap kumpulan militan di Timur Tengah - tidak disebut dalam dokumen awal ini.

Selain itu, nasib simpanan uranium Iran sebanyak 400kg juga tidak dinyatakan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa beliau dan Encik Trump bersetuju bahawa semua uranium yang diperkaya mesti dikeluarkan dari Iran bagi menghalang negara itu membina bom nuklear.

Iran pula tetap menafikan bahawa mereka mahu membina senjata nuklear.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita