Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran sedia mudahkan laluan kapal di Selat Hormuz tetapi bersyarat

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran sedia mudahkan laluan kapal di Selat Hormuz tetapi bersyarat

(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 21 Mar 2026 07:56AM Dikemas Kini : 21 Mar 2026 07:57AM
London: Iran sedia memudahkan laluan kapal melalui Selat Hormuz dengan syarat ia diselaraskan dengan pihak berkuasa Iran serta dilaksanakan dengan penuh penghormatan terhadap kedaulatan dan keselamatannya, kata Duta Besar Iran ke Britain Ali Mousavi pada Khamis (19 Mac), lapor Xinhua.

Encik Mousavi yang juga wakil tetap Iran ke Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) berkata demikian dalam temu bual bersama Xinhua di luar Mesyuarat Luar Biasa ke-36 Majlis IMO.

Mesyuarat itu diadakan di London pada Rabu (18 Mac) dan Khamis (18 Mac) bagi membincangkan situasi di rantau Teluk, khususnya Selat Hormuz.

Sebagai anggota IMO, Iran menyedari sepenuhnya komitmen dan tanggungjawabnya terhadap perkapalan antarabangsa, kata beliau sambil menegaskan bahawa perkara itu perlu dihormati seiring dengan hak Iran termasuk kewibawaan wilayah, kedaulatan negara dan maruahnya.

Selat Hormuz terbuka kepada semua kapal kecuali yang "milik musuh kami," katanya sambil menambah bahawa Iran kekal bersedia untuk memudahkan laluan kapal yang melalui selat itu, namun pengaturan mesti diselaraskan berdasarkan keadaan keselamatan.

"Segala-galanya perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan Iran," katanya sambil menambah keselamatan kapal dan pelaut akan menjadi sebahagian daripada pengaturan tersebut.

Iran akan terus bekerjasama dengan IMO serta pihak berkuasa maritim negara lain bagi memastikan pelayaran antarabangsa lebih selamat dan perlindungan lebih baik kepada pelaut, katanya, sambil menambah Iran mengalu-alukan sebarang inisiatif dan cadangan untuk perkapalan antarabangsa yang lebih selamat.

Beliau berkata, situasi semasa di Selat Hormuz berpunca daripada "pencerobohan dan aktiviti ketenteraan haram terhadap rakyat Iran serta integriti wilayah Iran," merujuk kepada operasi tentera berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari.

Encik Mousavi turut menyifatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga Iran sebagai "melangkaui satu lagi garis merah," sambil menambah Iran akan mengambil langkah pertahanan sewajarnya dan menganggap sebarang aset Amerika atau Israel sebagai sasaran sah.

Beliau menegaskan Iran lebih mengutamakan diplomasi dalam menghuraikan pertikaian.

Encik Mousavi turut menekankan ketahanan dan perpaduan rakyat Iran dalam menghadapi konflik itu, sambil menyatakan negara itu menyaksikan "perpaduan dan solidariti yang sangat penting dan signifikan" sepanjang peperangan.

Beliau berkata sejak konflik bermula, rakyat Iran turun ke jalanan mengecam pihak yang dianggap penceroboh serta mengadakan upacara pengebumian besar-besaran bagi mereka yang terkorban.

Rakyat Iran, dengan sejarah dan tamadun yang panjang, menunjukkan mereka kekal bersatu apabila berdepan ancaman luar terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara, katanya.

Mengenai implikasi serantau yang lebih luas, beliau memberi amaran bahawa konflik itu adalah "fenomena berbahaya dan sangat buruk serta malapetaka kepada seluruh dunia" yang bukan sahaja menjejaskan Iran tetapi juga negara Teluk jiran, pasaran tenaga global dan keselamatan makanan.

Beliau menggesa negara-negara khususnya di rantau itu supaya mempersoalkan Amerika dan Israel mengapa mereka memulakan konflik tersebut.

Mousavi turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya kecam apa yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan terhadap Iran serta mengambil langkah bagi mengelakkan perkara itu berulang kerana ia melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Menurut data IMO, sejak tercetusnya konflik, sekurang-kurangnya tujuh pelaut terbunuh dan beberapa lagi cedera parah dalam serangan ke atas kapal dagang di kawasan Selat Hormuz.

Kira-kira 20,000 pelaut masih terkandas di atas kapal di rantau Teluk.
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita