Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran, Oman capai kemajuan dalam rundingan laluan Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran, Oman capai kemajuan dalam rundingan laluan Selat Hormuz

Iran dan Oman mencapai kemajuan dalam rundingan mengenai laluan transit melalui Selat Hormuz, dengan kefahaman dicapai mengenai peta laluan perkapalan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Aug 2026 08:49PM
ISTANBUL: Iran menyatakan rundingan dengan Oman mengenai laluan transit melalui Selat Hormuz berjalan “lancar dan konstruktif”, dengan kedua-dua pihak mencapai kefahaman mengenai peta laluan perkapalan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata pada Isnin (10 Ogos), rundingan masih diteruskan bagi memuktamadkan beberapa perkara teknikal dalam kenyataan bersama.

“Kefahaman dicapai mengenai peta laluan perkapalan dan rundingan masih diteruskan bagi memuktamadkan beberapa perkara teknikal dalam kenyataan bersama,” katanya seperti dipetik agensi berita separa rasmi Tasnim.

Menurut Encik Baqaei, satu mekanisme akan diwujudkan bagi memastikan keselamatan lalu lintas maritim, melindungi alam sekitar dan menangani “jenayah maritim”.

Bayaran turut akan dikenakan bagi khidmat maritim yang disediakan kepada kapal.

Encik Baqaei berkata matlamat utama rundingan antara Tehran dan Muscat adalah untuk mencapai kefahaman berkekalan yang menjamin keselamatan sepenuhnya di Selat Hormuz.

Beliau menegaskan bahawa rundingan dengan Oman merupakan proses dua hala bagi menentukan laluan selamat untuk perkapalan antarabangsa dan tidak berkaitan dengan perbezaan politik.

Namun, Encik Baqaei berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sepenuhnya sehingga Washington memenuhi tuntutan Tehran, termasuk menamatkan kepungan tentera laut terhadap pelabuhan Iran.

Iran dan Amerika Syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman pada Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menamatkan permusuhan aktif dan memulakan rundingan ke arah perjanjian lebih menyeluruh.

Memorandum itu menggariskan pemulihan secara berperingkat pelayaran komersial melalui Selat Hormuz.

Namun, pelaksanaannya kemudian terhenti apabila Iran dan Amerika saling menuduh melanggar syarat yang dipersetujui.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita