Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran lancar lebih 5,400 serangan ke atas pangkalan tentera Amerika sejak 28 Feb
Iran melancarkan sekurang-kurangnya 5,471 serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan Amerika Syarikat dan tapak kritikal di tujuh negara Arab sejak 28 Feb, menurut data rasmi yang dikumpul awal Isnin (30 Mac), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kepulan asap susulan serangan peluru berpandu Iran di selatan Israel pada 29 Mac 2026 ketika konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran terus berlanjutan. (Gambar: REUTERS)
- Iran melancarkan lebih 5,000 serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan Amerika Syarikat serta tapak kritikal di tujuh negara Arab sejak 28 Februari.
- Serangan ini adalah tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang menyebabkan kematian lebih 1,340 orang termasuk Ayatollah Ali Khamenei.
- Negara seperti UAE, Kuwait, Bahrain, Qatar, Jordan, Arab Saudi dan Oman melaporkan jumlah serangan yang dipintas dan kerosakan yang dialami.
- Ketegangan serantau meningkat, memberi kesan kepada infrastruktur, pasaran global dan penerbangan di kawasan Teluk.
Ketika serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran dan tindakan balas Tehran berterusan, banyak lokasi kritikal di seluruh negara Teluk menjadi sasaran.
Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada kementerian pertahanan dan pusat maklumat rasmi negara yang terlibat, Amiriah Arab Bersatu (UAE) adalah yang paling terjejas.
Menurut Kementerian Pertahanan UAE, sistemnya memintas 414 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu jelajah dan 1,914 dron sejak bermulanya serangan.
Kuwait memaklumkan pihaknya memintas 309 peluru berpandu balistik dan 616 dron, menurut kenyataan daripada pusat maklumat kerajaan dan tentera.
Komando Am Angkatan Pertahanan Bahrain berkata 174 peluru berpandu dan 391 dron dineutralkan dalam tempoh yang sama.
Kementerian Pertahanan Qatar melaporkan 206 peluru berpandu balistik dan 93 serangan dron menyasarkan negara itu.
Tentera Jordan pula menyatakan 262 serangan peluru berpandu dan dron direkodkan semasa konflik manakala menurut Arab Saudi, sekurang-kurangnya 52 peluru berpandu dan 1,006 dron menyasarkan wilayahnya.
Oman memaklumkan negara itu disasarkan oleh 19 dron.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.