Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran kenakan semula “kawalan ketat” di Selat Hormuz susuli kepungan Amerika
Markas tentera pusat Iran mengumumkan pada Sabtu (18 Apr) bahawa ia akan menyambung semula "pengurusan ketat" ke atas Selat Hormuz, sekali gus membatalkan keputusan untuk membuka semula laluan strategik itu sebagai sebahagian daripada rundingannya dengan Washington.
Gambar satelit menunjukkan pergerakan kapal di Selat Hormuz pada 17 April 2026. (Gambar: European Union/Copernicus Sentinel-2/Edaran melalui REUTERS)
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen negara, ibu pejabat itu menyatakan Washington memungkiri janji dengan meneruskan kepungan tentera laut terhadap kapal-kapal yang berlayar ke dan dari pelabuhan Iran.
Sehingga Amerika Syarikat memulihkan kebebasan pergerakan bagi semua kapal yang berkunjung ke Iran, "situasi di Selat Hormuz akan terus dikawal dengan ketat", menurut kenyataan itu.
Tehran sebelum itu pada Sabtu mengancam untuk menutup semula laluan air tersebut jika Amerika Syarikat meneruskan kepungan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran, beberapa jam selepas ia mengumumkan pembukaan semula laluan strategik itu menyusuli gencatan senjata di Lubnan.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula memberitahu AFP bahawa perjanjian damai lebih luas antara Amerika Syarikat dan Iran "hampir dimeterai", sambil berkata bahawa Tehran sudah bersetuju untuk menyerahkan uranium diperkayanya – yang menjadi isu utama dalam rundingan antara kedua-dua negara.
"Kami akan mendapatkannya dengan memasuki Iran, dengan banyak jentolak," kata Encik Trump dalam satu acara di Arizona.
Namun Iran menolak dakwaan itu, sambil menyatakan bahawa simpanan uranium diperkayanya tidak akan dipindahkan ke mana-mana.
Ia juga memberi amaran, jika kapal-kapal perang Amerika Syarikat memintas kapal-kapal yang datang dari pelabuhan Iran, Selat Hormuz – laluan perdagangan global penting yang biasanya dilalui kira-kira satu perlima minyak mentah dunia dan gas asli cecair – mungkin ditutup semula.
"Dengan penerusan kepungan itu, Selat Hormuz tidak akan kekal terbuka," tulis speaker parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf di platform X, sambil menambah bahawa perjalanan melalui selat tersebut memerlukan kebenaran daripada Iran.
"Apa yang mereka anggap sebagai kepungan tentera laut pasti akan dibalas dengan tindak balas sewajarnya daripada Iran," kata jurucakap kementerian luar Iran Esmaeil Baqaei, yang menyifatkan kepungan tentera laut itu sebagai "pelanggaran gencatan senjata" yang dimeterai dengan Washington selama dua minggu bagi membolehkan rundingan dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.