Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran kaji saranan Amerika tapi tidak berhasrat untuk berunding
Iran sedang mengkaji semula saranan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Teluk tetapi tidak berhasrat untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik Timur Tengah yang semakin meluas, menurut Menteri Luar negara itu pada Rabu (25 Mac).
Anggota kecemasan dikerahkan ke tapak kejadian berikutan serangan peluru berpandu Iran di tengah-tengah konflik Amerika-Israel dengan Iran, di Tel Aviv, Israel, pada 24 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Tomer Appelbaum)
- Iran sedang meneliti saranan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Teluk, namun tidak bercadang mengadakan rundingan langsung mengenai konflik Timur Tengah.
- Saranan Presiden Donald Trump, disampaikan melalui Pakistan, melibatkan 15 perkara termasuk pengurangan uranium dan pembiayaan sekutu Iran.
- Rumah Putih enggan mendedahkan butiran saranan dan mengancam tindakan lebih keras jika Iran tidak bersetuju.
- Israel meragui Iran akan menerima terma tersebut dan bimbang Amerika Syarikat mungkin membuat konsesi, sambil mengekalkan pilihan serangan awal.
Komen oleh Menteri Luar Iran Abbas Araqchi membayangkan sedikit kesediaan Tehran untuk berunding bagi menamatkan perang jika tuntutan-tuntutannya dipenuhi.
Namun begitu, pertukaran mesej melalui pengantara "tidak bermakna rundingan dengan Amerika Syarikat," katanya lagi melalui stesen televisyen pemerintah.
"Mereka mengemukakan idea dalam mesej mereka yang disampaikan kepada pihak berkuasa tertinggi, dan jika perlu, satu pendirian akan diumumkan oleh mereka," kata Encik Araqchi.
Saranan 15 perkara Presiden Donald Trump, yang dihantar melalui Pakistan, menyeru untuk menghapuskan stok uranium Iran yang sudah diperkaya, menghentikan pengayaan, mengekang uranium bagi program peluru berpandu balistiknya dan memotong pembiayaan untuk sekutu-sekutu serantau, menurut tiga sumber kabinet Israel yang mempunyai maklumat mengenai rancangan itu.
Rumah Putih bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai saranannya dan mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Iran.
"Jika mereka gagal memahami bahawa mereka telah dikalahkan secara ketenteraan, dan akan terus dikalahkan, Presiden Trump akan memastikan mereka dikalahkan lebih dahsyat daripada yang pernah dikalahkan sebelum ini," kata Setiausaha Media Rumah Putih Karoline Leavitt kepada para wartawan.
Seorang pegawai kanan pertahanan Israel berkata Israel masih meragui Iran akan bersetuju dengan terma-terma tersebut, dan Israel bimbang perunding Amerika Syarikat mungkin membuat konsesi. Israel juga mahukan sebarang perjanjian untuk mengekalkan pilihannya untuk melakukan serangan awal, menurut sumber kedua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.