Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran dakwa serang sasaran tentera Amerika di Teluk, siap sedia kebumikan jenazah pemimpin tertinggi
Iran dakwa serang sasaran tentera Amerika di Teluk, siap sedia kebumi jenazah pemimpin tertinggi. (Gambar: West Asia News Agency via Reuters/Majid Asgaripour)
Pada hari yang sama, Iran juga sedang membuat persiapan untuk mengebumikan Pemimpin Tertinggi mereka yang terkorban, Ayatollah Ali Khamenei, di makam paling suci di Mashhad, wilayah timur laut Iran. Ini merupakan kemuncak kepada perarakan jenazah dan perhimpunan besar-besaran yang berlangsung selama seminggu. Ali Khamenei terkorban dalam serangan udara Amerika Syarikat pada hari pertama perang meletus pada 28 Februari lalu.
Agensi berita Fars melaporkan bahawa jet-jet pejuang MiG-29 milik tentera udara Iran dikerahkan untuk "mengawal ruang udara di kawasan perarakan pengebumian" di Mashhad.
Sementara itu, harga minyak dunia yang sempat melonjak akibat kebimbangan gangguan bekalan global, kembali turun pada Khamis. Ini kerana para pelabur sedang menilai sama ada ketegangan terbaharu ini hanyalah taktik sementara atau petanda awal kepada kegagalan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata tersebut.
Pihak tentera Amerika Syarikat pada Rabu menyatakan bahawa serangan terbaharu mereka ke atas Iran bertujuan untuk memastikan Selat Hormuz kekal dibuka, selepas mendakwa tentera Iran menyerang tiga kapal tangki minyak di kawasan berkenaan. Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa beliau menganggap perjanjian gencatan senjata sementara dengan Iran sudah "berakhir".
Menurut laporan media rasmi Iran, pegawai-pegawai tempatan mendakwa serangan Amerika Syarikat mengorbankan 14 orang dan mencederakan 78 yang lain di lima wilayah pada 8 dan 9 Julai. Laporan Fars turut menyebut satu serangan Amerika Syarikat merosakkan jambatan kereta api yang digunakan bagi urusan perdagangan dengan Rusia dan China.
Beberapa letupan turut kedengaran pada pagi Khamis di wilayah Bushehr dan Bandar Abbas, iaitu sebuah bandar pelabuhan di Selat Hormuz, menurut agensi berita Mehr. Bushehr menempatkan loji kuasa nuklear binaan Rusia, dan seorang pegawai tempatan mengesahkan peluru berpandu Amerika Syarikat terkena kawasan perimeter luar kemudahan tersebut.
SASAR PANGKALAN TENTERA AMERIKA DI QATAR, KUWAIT, BAHRAIN
Tentera Iran dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan mereka melancarkan serangan menggunakan dron ke atas sistem pertahanan udara Patriot milik Amerika Syarikat di Kuwait, tapak sistem amaran awal di Qatar, serta depoh simpanan bahan api tentera Amerika Syarikat di Bahrain.
Pihak Kuwait menyatakan angkatan tenteranya telah memintas sebuah peluru berpandu krus, tiga peluru berpandu balistik, dan 10 dron di ruang udara mereka, dengan seorang dilaporkan cedera akibat terkena serpihan yang jatuh. Semboyan amaran turut berbunyi di Jordan selepas peluru berpandu dari Iran dikesan melintasi ruang udara negara itu, di mana lapan daripadanya berjaya dipintas tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan.
Qatar, yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat yang terbesar di rantau itu dan sering menjadi orang tengah, menggesa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan. Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, turut menghubungi Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, bagi mengecam serangan terhadap kapal-kapal komersial di Selat Hormuz.
Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global sebelum perang meletus pada 28 Februari lalu akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran. Sejak itu, Tehran telah menguasai selat berkenaan dengan berkesan.
"Amerika Syarikat masih belum belajar bahawa tindakan membuli dan melanggar komitmen kini ada balasannya. Biar saya jelaskan: Jika anda menyerang, anda akan diserang balas," tulis ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, di platform X.
"BALASAN DENDAM"
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Rabu menyatakan bahawa tentera mereka menyerang kira-kira 90 sasaran tentera Iran, termasuk sistem pertahanan udara, sistem pengawasan pantai, tapak penyimpanan peluru berpandu dan dron, serta prasarana logistik di sepanjang pantai Iran.
"Amerika Syarikat mempertanggungjawabkan Iran atas pencerobohan tanpa sebab baru-baru ini terhadap kapal komersial dan anak kapal awam yang belayar di laluan air antarabangsa yang penting," kata CENTCOM dalam satu kenyataan.
"Ini adalah balasan dendam atas pengeboman kapal oleh Iran semalam. Jika ia berlaku lagi, keadaannya akan menjadi jauh lebih buruk!" tulis Encik Trump di platform Truth Social miliknya pada Rabu.
Bagaimanapun, Encik Trump yang sedang menghadiri sidang kemuncak NATO di Turki, menyatakan beliau tidak fikir serangan tentera terbaharu ini akan berlarutan menjadi konflik berskala besar. "Apa sahaja yang berlaku akan selesai dengan sangat cepat... dan ia hanya akan menjadikannya lebih selamat, termasuk untuk bekalan minyak," katanya kepada wartawan di Ankara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.