Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran beri amaran serangan ke atas Beirut akan 'cetuskan semula perang besar-besaran'
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberi amaran pada Rabu (3 Jun) bahawa sebarang serangan ke atas Beirut akan mencetuskan "sambungan semula perang Timur Tengah secara besar-besaran", sedang Israel meneruskan kempen ketenteraannya terhadap kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah.
Orang ramai berada di kawasan pesisir pantai berhampiran Selat Hormuz, di mana kapal-kapal kargo dan perkhidmatan kelihatan berlabuh berhampiran Bandar Abbas, Iran, pada 1 Jun 2026. (Gambar: Amirhosein Khorgooi/ISNA menerusi AP)
Iran berulang kali menegaskan bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang yang lebih meluas di Timur Tengah - yang turut disertai sekutunya Hezbollah pada 2 Mac - perlu turut menghentikan pertempuran di Lubnan.
"Nasib perang antara Iran dengan Israel dan Amerika tidak dapat dipisahkan daripada nasib pertempuran di Lubnan, dan kedua-dua medan ini telah saling berkait sejak hari pertama," menurut agensi-agensi berita Iran yang memetik kata-kata Encik Araghchi kepada stesen televisyen Al Mayadeen di Lubnan.
"Sebarang serangan ke atas Beirut akan membawa akibat yang serius dan akan menyebabkan perang disambung semula secara besar-besaran," kata beliau lagi sambil menambah bahawa angkatan bersenjata Iran "bersedia untuk menyerang Israel jika ia menyerang Beirut".
Beliau juga menegaskan, untuk menamatkan perang di Lubnan, tentera Israel mesti berundur dari negara itu.
"Penamatan perang di Lubnan juga bermakna penamatan pendudukan. Ini bermakna, perang hanya boleh ditamatkan sekiranya ia disertai dengan pengunduran pasukan rejim Zionis tersebut dari kawasan yang didudukinya," kata beliau kepada penyiar Lubnan yang pro-Hezbollah itu.
Kenyataannya itu dibuat ketika para diplomat Israel dan Lubnan dijadual mengadakan rundingan secara langsung buat hari kedua di Washington.
Rundingan itu merupakan sebahagian daripada pusingan keempat perbincangan sejak pertempuran di Lubnan tercetus apabila Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran.
Hezbollah membantah keras rundingan langsung tersebut.
Bercakap menjelang rundingan itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata kepada penyiar Amerika CNBC bahawa beliau dan Encik Trump berkongsi matlamat yang sama "untuk melucutkan senjata Hezbollah dan... menghapuskan keupayaan ketenteraan Lubnan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.