Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran beri amaran mungkin serang tapak industri di Israel, negara Teluk
Media Iran pada Ahad (29 Mac) menyiarkan senarai kemudahan industri di Israel dan lima negara Teluk yang diberi amaran oleh Tehran dan mungkin menjadi sasaran serangan, lapor Anadolu Ajansi.
Asap naik ke udara susulan serangan peluru berpandu Iran di selatan Israel pada Ahad. (Gambar: Reuters)
- Iran menyiarkan senarai kemudahan industri di Israel dan lima negara Teluk yang diberi amaran dan mungkin menjadi sasaran serangan.
- Senarai tersebut termasuk syarikat keluli utama seperti Saudi Iron and Steel Company, Emirates Steel Arkan, Qatar Steel, Foulath Holding, United Steel Industrial Company dan Yehuda Steel.
- Ancaman balas Iran dibuat selepas serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas syarikat Keluli Khuzestan di Iran yang memaksa operasi dihentikan.
- Serangan dan tindak balas ini menyebabkan kematian, kerosakan infrastruktur serta gangguan pasaran global dan penerbangan di rantau tersebut.
Menurut wartawan Anadolu, senarai itu merangkumi syarikat keluli dan industri utama, termasuk Saudi Iron and Steel Company (Hadeed) di Arab Saudi, Emirates Steel Arkan di Amiriah Arab Bersatu, Qatar Steel, Foulath Holding di Bahrain, United Steel Industrial Company di Kuwait, serta Yehuda Steel di Israel
Pada Jumaat (27 Mac), Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Majid Mousavi mengancam tindak balas “balas setimpal” susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas infrastruktur Iran.
Serangan udara Amerika Syarikat-Israel mengenai syarikat Keluli Khuzestan di Iran pada Sabtu (28 Mac), menyasarkan kemudahan pengeluaran utama dan memaksa operasi dihentikan.
Amerika Syarikat dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.