Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran bakal adakan upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Khamenei di 3 bandar

Upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat-Israel pada 28 Februari lalu, akan diadakan di Tehran, Qom dan Mashhad, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai kanan perbandaran pada Selasa (2 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran bakal adakan upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Khamenei di 3 bandar

Upacara penghormatan terakhir selama tiga hari sudah dirancang, dengan perarakan pengebumian di Tehran dijangka berlangsung sekurang-kurangnya 24 jam. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 03 Jun 2026 09:33AM
ISTANBUL: Upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat-Israel pada 28 Februari lalu, akan diadakan di Tehran, Qom dan Mashhad, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai kanan perbandaran pada Selasa (2 Jun).

Timbalan Datuk Bandar Tehran bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Mohammad Amin Tavakkoli-Zadeh berkata pihak berkuasa sedang membuat persiapan untuk menerima kehadiran antara 15 juta hingga 20 juta orang di ibu negara, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Beliau berkata Encik Khamenei akan dikebumikan di makam Imam Reza di Bandar Mashhad yang terletak di timur laut negara itu, selaras dengan wasiat serta saranan daripada yang rapat dengannya.

Encik Tavakkoli-Zadeh berkata permohonan daripada wilayah-wilayah di seluruh Iran untuk menganjurkan upacara pengebumian dan peringatan masih berterusan, dan majlis berkenaan berkemungkinan besar akan diadakan pada penghujung bulan Zulhijjah, iaitu bulan ke-12 dalam kalendar Islam.

Beliau berkata upacara penghormatan terakhir selama tiga hari sudah dirancang dan perarakan pengebumian di Tehran dijangka berlangsung sekurang-kurangnya selama 24 jam.

Menurut pegawai itu, Mashhad dijangka menerima kunjungan besar-besaran pelawat dari negara-negara jiran termasuk Pakistan, Afghanistan, India dan Bangladesh, serta wilayah Kashmir.

Encik Tavakkoli-Zadeh berkata majlis pengebumian berkenaan bakal mencatatkan skala luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan kehadiran para pengiring jenazah dari seluruh dunia Islam.

Ketegangan wilayah meningkat pada akhir Februari lalu selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan lebih 3,000 orang, termasuk Encik Khamenei, komander kanan tentera serta pegawai-pegawai pemerintah.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset berkaitan Amerika Syarikat di rantau Teluk, di samping menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan utama penghantaran minyak global.

Gencatan senjata yang diusahakan melalui pengantaraan Pakistan mula berkuat kuasa pada 8 April, namun rundingan susulan di Islamabad gagal mencapai penyelesaian kekal.

Sejak itu, kedua-dua belah pihak terus bertukar-tukar cadangan dan cadangan balas yang bertujuan untuk menyambung semula rundingan langsung bagi menamatkan perang berkenaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita