Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran anggap tuntutan Amerika 'tidak munasabah' jelang ucapan Trump
Iran menyatakan pada Khamis (2 Apr) bahawa tuntutan Washington adalah "tidak rasional dan tidak munasabah".
Kepulan asap dilihat di sebuah lokasi serangan di Tehran, Iran, pada 1 April 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/WANA (Agensi Berita Timur Tengah) menerusi REUTERS)
This audio is generated by an AI tool.
Encik Trump mendakwa pada Rabu (1 Apr) bahawa Presiden Iran telah meminta gencatan senjata tetapi berkata Iran mesti membuka semula Selat Hormuz terlebih dahulu, mencetuskan perhatian global terhadap ucapannya yang bakal disiarkan di televisyen dari Rumah Putih pada pukul 9.00 malam (9.00 pagi waktu Singapura pada Khamis).
Amerika Syarikat, menurut Encik Trump, akan berundur dari Iran “secepat mungkin” tetapi bersedia untuk melancarkan serangan terhad sekiranya perlu, kata Encik Trump dalam wawancara bersama Reuters pada Rabu (1 Apr).
Kenyataan itu dibuat beberapa jam sebelum beliau dijadual menyampaikan ucapan utama mengenai perkembangan perang tersebut.
Perang yang kini memasuki minggu kelima berlaku ketika Encik Trump berdepan tekanan domestik berikutan kenaikan harga petrol serta desakan supaya mencari jalan keluar yang jelas.
Ucapan Encik Trump pada pukul 9.00 pagi waktu Singapura bermatlamat untuk menggariskan hala tuju seterusnya dalam usaha Washington menangani ketegangan di Timur Tengah.
Encik Trump turut menyatakan beliau akan menggunakan ucapannya untuk menyuarakan rasa kecewa terhadap NATO yang dituduh gagal menyokong objektif Amerika Syarikat di Iran.
Encik Trump mengakui sedang “menimbangkan sepenuhnya” langkah menarik diri daripada pakatan ketenteraan itu.
Hubungan Amerika Syarikat–Eropah juga semakin tegang selepas sekutu-sekutu Eropah menolak permintaan Washington untuk membantu menjaga dan melindungi keselamatan pergerakan kapal minyak melalui Selat Hormuz
Apabila diminta mengulas tentang tempoh tamat perang, Encik Trump enggan memberikan jadual terperinci namun menegaskan Amerika Syarikat akan menarik keluar tenteranya “secepat mungkin.”
“Kita akan keluar dengan cepat… dan jika perlu, kita akan kembali melakukan ‘serangan terhad’,” katanya dalam wawancara tersebut.
Encik Trump menegaskan, gelombang serangan awal Amerika Syarikat telah mengakibatkan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan lain.
Menyusuli serangan itu, Iran kini berada di bawah kepimpinan anak beliau, Mojtaba Khamenei, yang dipercayai cedera dan mungkin mengalami kecacatan akibat serangan tersebut.
Encik Trump menegaskan: “Saya tidak perlukan perubahan rejim, tetapi kita mendapatnya kerana korban perang.”
Encik Trump turut yakin peluang mencapai perjanjian semakin cerah kerana, katanya, “mereka tidak mahu terus dibedil lagi.”
Menurut Encik Trump, tujuan utama Washington melancarkan perang bagi memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, kini telah dicapai.
Walaupun sebahagian besar uranium Iran yang diperkaya disimpan di kompleks bawah tanah yang sukar ditembusi, Encik Trump berkata: “Ia terlalu jauh di bawah tanah… saya tidak kisah tentang itu. Kita akan memantau melalui satelit.”
Amerika Syarikat mendakwa Iran kini “tidak lagi berupaya” menghasilkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan oleh Tehran yang berulang kali menegaskan program nuklearnya bersifat aman.
Menurut sumber yang dipetik Reuters, Naib Presiden JD Vance telah mengadakan perbincangan melalui perantara di Pakistan dan menyampaikan mesej bahawa Encik Trump terbuka kepada gencatan senjata sekiranya beberapa tuntutan Amerika Syarikat dipenuhi.
Iran bagaimanapun menafikan wujudnya rundingan di belakang tabir itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.