Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran, Amerika berbalas serangan dalam peningkatan terburuk sejak perjanjian damai dimeterai; Kapal tangki diserang di Hormuz

Sebuah kapal tangki dilaporkan diserang oleh peluru berpandu di Selat Hormuz pada Sabtu (27 Jun), menurut agensi keselamatan maritim Britain, selepas Amerika Syarikat dan Iran melancarkan serangan dalam peningkatan terburuk sejak mereka memeterai perjanjian damai sementara.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran, Amerika berbalas serangan dalam peningkatan terburuk sejak perjanjian damai dimeterai; Kapal tangki diserang di Hormuz

Kapal-kapal di Selat Hormuz, seperti dilihat dari Musandam, Oman pada 26 Jun 2026. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 28 Jun 2026 07:16AM Dikemas Kini : 28 Jun 2026 07:18AM
  • Kapal tangki di Selat Hormuz diserang peluru berpandu pada 27 Jun, dengan semua anak kapal dilaporkan selamat menurut UKMTO.
  • Serangan ini berlaku selepas Amerika Syarikat dan Iran saling menuduh melanggar perjanjian damai yang dicapai dua minggu lalu untuk menamatkan perang empat bulan.
  • Iran dan Amerika Syarikat melancarkan serangan balas ke atas sasaran masing-masing, manakala Iran meningkatkan kawalan ke atas laluan perkapalan dengan tembakan amaran dan keperluan permit.
  • Pusat Maklumat Maritim Bersama menaikkan tahap ancaman keselamatan, sementara Bahrain melaporkan serangan dron Iran dan tentera Amerika belum memberi respons segera.
Dijana oleh AI
DUBAI: Sebuah kapal tangki dilaporkan diserang oleh peluru berpandu di Selat Hormuz pada Sabtu (27 Jun), menurut agensi keselamatan maritim Britain, selepas Amerika Syarikat dan Iran melancarkan serangan dalam peningkatan terburuk sejak mereka memeterai perjanjian damai sementara.

Kedua-dua pihak yang berperang saling tuduh menuduh satu sama lain melanggar perjanjian yang dicapai dua minggu lalu untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama empat bulan.

Washington menyatakan ia menyerang sasaran Iran semalaman.

Iran pula menyatakan ia membalas serangan itu pada Sabtu dengan menyerang sasaran dikaitkan dengan tentera Amerika.

Serangan pada Sabtu terhadap sebuah kapal tangki di selat Hormuz disusuli dengan satu lagi serangan terhadap sebuah kapal kargo pada Khamis mencetuskan peningkatan keganasan terkini.

Iran membuat percubaan baharu untuk mengawal laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia, yang mula dibuka semula selepas berbulan-bulan ia alami gangguan.

Agensi keselamatan maritim Britain UKMTO menyatakan kapal tangki yang diserang pada Sabtu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan atau pusat kawalan kapalnya, dengan semua anak kapal dilaporkan selamat.

Pusat Maklumat Maritim Bersama yang dikendalikan oleh gabungan tentera laut bagi melindungi perkapalan, menaikkan tahap ancaman keselamatan disebabkan oleh kejadian baru-baru ini.

Iran tidak mengulas secara langsung mengenai laporan berlaku serangan tertentu terhadap kapal-kapal itu.

Namun Pengawal Revolusi Iran melepaskan "tembakan amaran" terhadap kapal-kapal yang cuba melalui selat itu tanpa mendapat kelulusan dari Iran, dan ia kini mendorong kapal-kapal lain supaya mendapatkan permit Iran sebelum cuba melintasi selat tersebut.

Sebelum ini, kementerian luar Iran menyatakan ia melancarkan serangan "pertahanan" terhadap sasaran tentera dikaitkan dengan Amerika, manakala Bahrain, yang menempatkan ibu pejabat serantau tentera laut Amerika melaporkan satu serangan dron Iran.

Tentera Amerika tidak segera memberi respons kepada laporan tersebut.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita