Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia terima jenazah anggota pengaman terkorban di Lubnan

Indonesia menerima jenazah tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbunuh di selatan Lubnan semasa pencerobohan Israel ke atas negara itu, dalam perang berterusan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, lapor Astro Awani.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia terima jenazah anggota pengaman terkorban di Lubnan

Ahli keluarga anggota pengaman Indonesia yang terkorban ketika berkhidmat bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan menangis semasa istiadat penghormatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia, pada 4 April 2026. (Gambar: AP)

JAKARTA: Indonesia menerima jenazah tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbunuh di selatan Lubnan semasa pencerobohan Israel ke atas negara itu, dalam perang berterusan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, lapor Astro Awani.

Keranda ketiga-tiga anggota yang terkorban tiba di Indonesia pada Sabtu (4 Apr).

Jenazah dibawa oleh pegawai berpakaian seragam dalam satu upacara yang dihadiri Presiden Prabowo Subianto.

Selepas upacara tersebut, Menteri Luar Negeri Sugiono memberitahu wartawan, Indonesia mahu satu siasatan PBB menyeluruh dijalankan terhadap insiden kematian anggota pengaman yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Ini adalah misi pengaman. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau kepada wartawan di lapangan terbang.

“Perlu ada jaminan keselamatan untuk anggota tentera pengaman,” tambah beliau.

Minggu lalu, seorang anggota pengaman, Farizal Rhomadhon, 28, terbunuh selepas satu peluru berpandu meletup.

Seorang sumber keselamatan PBB memberitahu agensi berita AFP pada Selasa, tembakan daripada sebuah kereta kebal Israel bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Sehari kemudian, dua lagi anggota pengaman Indonesia, Zulmi Aditya Iskandar, 33, dan Muhammad Nur Ichwan, 26, terbunuh selepas satu letupan terkena konvoi logistik UNIFIL di selatan Lubnan.

Bapa Iskandar berkata, beliau terkejut apabila mengetahui anggota pasukan pengaman kehilangan nyawa dalam konflik tersebut, lapor Astro Awani.

“Kami benar-benar sedih dan kecewa, kerana ini adalah pasukan PBB, pasukan pengaman, bukan dikerahkan untuk berperang,” kata Iskandarudin, 60, kepada wartawan di rumahnya di wilayah Jawa Barat.

Ketiga-tiga mangsa dijangka dikebumikan pada Ahad dan pemerintah berjanji akan menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga mereka.

Pada Jumaat, UNIFIL mengumumkan tiga anggota pengaman cedera selepas satu letupan berlaku di sebuah kemudahan PBB berhampiran Adeisse dan para mangsa sudah dibawa ke hospital.

Pusat Maklumat PBB di Jakarta menyatakan “punca letupan tersebut” tidak diketahui, namun mengenal pasti anggota yang cedera sebagai rakyat Indonesia, lapor Astro Awani.

“Serangan berulang atau insiden seumpama ini tidak boleh diterima,” kata Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam satu kenyataan.

Pemerintah Indonesia menggesa Majlis Keselamatan PBB agar “segera mengadakan mesyuarat negara-negara penyumbang tentera kepada UNIFIL untuk menjalankan penilaian dan mengambil langkah-langkah bagi mempertingkat perlindungan kepada anggota yang berkhidmat dengan UNIFIL.”
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita