Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia pastikan penghantaran pulang selamat, segera anggota pengaman terkorban di Lubnan

Pemerintah Indonesia terus berkoordinasi rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan proses penghantaran pulang tiga anggota pengaman yang terkorban di Lubnan berjalan dengan cepat, selamat dan lancar, dengan kepulangan jenazah dijangka pada minggu pertama April.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia pastikan penghantaran pulang selamat, segera anggota pengaman terkorban di Lubnan

Satu istiadat penghormatan kepada anggota pengaman terkorban diadakan pada 2 April 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri. (Gambar: Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia terus berkoordinasi rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan proses penghantaran pulang tiga anggota pengaman yang terkorban di Lubnan berjalan dengan cepat, selamat dan lancar, dengan kepulangan jenazah dijangka pada minggu pertama April.

Timbalan Wakil Tetap Indonesia ke PBB, Umar Hadi berkata proses penghantaran pulang dalam situasi konflik adalah mencabar, namun beliau menegaskan semula komitmen pemerintah untuk memastikan kepulangan yang bermaruah dan tepat pada masanya sebagai tanda penghormatan kepada anggota terkorban serta memenuhi tanggungjawab negara terhadap keluarga mereka.

“Dalam keadaan biasa, perjalanan dari Beirut ke Jakarta mengambil masa sekurang-kurangnya 17 jam.

“Namun ketika ini, intensiti pertempuran bersenjata di pelbagai lokasi di rantau itu, termasuk disebabkan oleh peningkatan serangan Israel di selatan Lubnan, bukan sahaja mengehadkan pergerakan malah menjadikan setiap langkah sebagai isu keselamatan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia pada Jumaat (3 Apr).

Tiga anggota yang gugur itu ialah Kapten Infantri Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Muhammad Nur dan Prebet Kelas Pertama Farizal Rhomadhon yang terkorban dalam serangan pada 29 dan 30 Mac lalu ketika berkhidmat di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Satu istiadat penghormatan kepada anggota pengaman terkorban sudah diadakan pada 2 April waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri, dipimpin oleh Komander Pasukan UNIFIL sebagai penghormatan terakhir terhadap khidmat dan dedikasi mereka dalam mengekalkan keamanan dunia.

Encik Umar turut menyampaikan ucapan takziah mendalam pemerintah atas kehilangan tersebut, sambil menyatakan pemergian mereka meninggalkan kesedihan mendalam bukan sahaja kepada keluarga malah seluruh rakyat Indonesia.

“Khidmat bakti mereka merupakan sebahagian daripada komitmen Indonesia dalam mengekalkan keamanan dunia seperti yang termaktub dalam Mukadimah Perlembagaan 1945,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita