Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia kutuk serangan bunuh 3 anggota pengaman di Lubnan

Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengutuk serangan yang menjejaskan keamanan dan mengakibatkan kehilangan tiga askar terbaik Indonesia, semasa menjalankan tugas mereka sebagai pasukan pengaman dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Indonesia kutuk serangan bunuh 3 anggota pengaman di Lubnan

Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata Indonesia berduka atas kehilangan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), yang terkorban semasa menjalankan tugas di Lubnan. (Gambar: Instagram/Prabowo Subianto)

JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengutuk serangan yang menjejaskan keamanan dan mengakibatkan kehilangan tiga askar terbaik Indonesia, semasa menjalankan tugas mereka sebagai pasukan pengaman dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).

Encik Prabowo berkata Indonesia berduka atas kehilangan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), yang gugur dalam menjalankan tugas melaksanakan misi mulia di Lubnan

“Negara akan sentiasa mengangkat jasa pahlawan ini, menjunjung maruah perajurit kita dan memastikan pengorbanan mereka tidak dilupakan.

“Mari kita teruskan semangat dan keazaman untuk menjaga keamanan dan tidak memberi ruang kepada sesiapa yang ingin memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian negara,” kata beliau dalam catatan yang dimuat naik di akaun Instagram.

Ketiga-tiga anggota itu dikenali sebagai Mejar Inf (Amerta) Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Mejar (Amerta) M. Nur Ichwan dan Koperal Kelas Pertama (Apostum) Farizal Rhomadhon.

Lima lagi anggota TNI cedera dalam kejadian pada 29 dan 30 Mac lepas iaitu Prebet Kelas Satu Rico Pramudia yang cedera parah, manakala empat lagi iaitu Leftenan Pertama (Inf) Sulthan Wirdean Maulana, Prebet Kelas Satu Deni Rianto, Prebet Kelas Pertama Bayu Prakoso dan Prebet Kelas Satu Arif Kurniawan cedera ringan.

Pada 3 April, tiga lagi pasukan pengaman Indonesia cedera berikutan letupan di El Addaiseh, selatan Lubnan.

Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri Indonesia Sugiono berkata Perancis, sebagai penyandang draf bagi Lubnan di Majlis Keselamatan PBB meluluskan permintaan Indonesia untuk mengadakan mesyuarat tergempar mengenai serangan maut terhadap pasukan pengaman di Lubnan.

Terdahulu, jenazah tiga anggota TNI yang terkorban tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 5.30 petang waktu tempatan Sabtu dan kemudiannya diterbangkan ke kampung halaman mereka di Cimahi, Magelang dan Kulon Progo dengan pesawat tentera selepas upacara ketenteraan diadakan untuk penghormatan terakhir.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita