Perang Amerika, Israel dan Iran: India, Amerika bincang isu Timur Tengah, perdagangan sedang Rubio dakwa konflik Iran capai kemajuan
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menghadiri sidang akhbar bersama selepas pertemuan mereka di Rumah Hyderabad di New Delhi, India, pada 24 Mei 2026. (Gambar: Reuters/Adnan Abidi)
Encik Rubio berkata kemajuan dicapai dalam tempoh 48 jam yang lalu berkaitan garis panduan yang boleh bantu menghuraikan situasi di sekitar Selat Hormuz, sambil menambah terdapat kemungkinan "berita baik" dalam beberapa jam akan datang.
Beliau menegaskan bahawa Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear dan berkata serangan ke atas kapal komersial adalah "sama sekali menyalahi undang-undang".
Perbincangan itu diadakan sedang ketegangan di Timur Tengah kian memuncak serta timbul kebimbangan mengenai laluan perkapalan dan bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, yang digunakan untuk menghantar seperlima minyak global.
Encik Jaishankar berkata India dan Amerika Syarikat berkongsi cabaran dan kepentingan bersama, dan bahawa India menyokong laluan maritim yang selamat.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga membincangkan usaha untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dua hala pada tarikh awal serta cabaran yang dihadapi pekerja India berkaitan visa ke Amerika Syarikat.
Pentadbiran Amerika silih berganti, termasuk ketika penggal pertama Presiden Donald Trump, berusaha mengeratkan hubungan dengan India yang secara tradisinya mengambil pendirian berkecuali. Ia sebagai usaha menyaingi pengaruh China yang semakin berkembang di rantau Indo-Pasifik, meskipun hubungan kedua-dua negara terjejas selepas Washington mengenakan tarif tinggi terhadap barangan India tahun lalu.
Baru-baru ini, New Delhi memerhatikan usaha Washington untuk menstabilkan hubungan dengan China dan meningkatkan penglibatan dengan Pakistan, di tengah-tengah kebimbangan di India mengenai keutamaan serantau Washington.
Encik Rubio menyifatkan India sebagai rakan strategik yang penting dan berkata kedua-dua negara sehaluan dalam isu berkaitan keganasan dan tenaga. Beliau juga berkata India adalah antara negara yang mempunyai pengaruh global.
Menyoroti hubungan mendalam antara New Delhi dan Washington, Encik Rubio berkata pelbagai isu yang dibincangkan menekankan bahawa India adalah "rakan kongsi strategik penting Amerika, salah satu rakan kongsi strategik kami yang paling penting di dunia".
Amerika Syarikat dan India telah meluaskan kerjasama mereka sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini yang merangkumi isu pertahanan, teknologi dan perdagangan, walaupun New Delhi mengekalkan hubungan dengan negara-negara lain termasuk Iran dan Rusia sebagai sebahagian daripada dasar autonomi strategiknya yang telah lama wujud.
Encik Rubio membincangkan isu perdagangan dan tenaga dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada hari Sabtu.
Encik Rubio juga mengundang Encik Modi, bagi pihak Encik Trump, untuk melawat Rumah Putih dalam masa terdekat.
"Semalam, semasa setiausaha mengunjungi perdana menteri, beberapa isu global dan serantau telah dibincangkan, dan dalam mesyuarat kami berikutnya di kedutaan, kami membincangkan perkembangan berkaitan Asia Barat," kata Encik Jaishankar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.