Perang Amerika, Israel dan Iran: IMF turunkan unjuran pertumbuhan, beri amaran kemelesetan global jika perang bertambah buruk
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhannya pada Selasa (14 Apr) disebabkan lonjakan harga tenaga akibat perang Iran dan gangguan bekalan.
Kepulan asap tebal naik dari kemudahan penyimpanan minyak yang dilanda serangan Amerika Syarikat-Israel di Tehran, Iran pada 8 Mac 2026. (Foto fail: AP/Vahid Salemi)
IMF juga memberi amaran ekonomi global mungkin berada di ambang kemelesetan jika perang tersebut bertambah buruk dan harga minyak kekal melebihi AS$100 (S$127) setong sepanjang 2027.
Dengan ketidaktentuan mengenai perang Timur Tengah menjejas pegawai kewangan yang menghadiri mesyuarat musim bunga IMF dan Bank Dunia di Washington, IMF membentangkan tiga senario pertumbuhan: lebih lemah, lebih buruk dan amat teruk, bergantung pada bagaimana perang itu berlaku.
"Senario rujukan" Unjuran Ekonomi Dunia yang paling bersifat optimis menganggap perang Iran jangka pendek dan meramalkan pertumbuhan GDP sebenar 3.1 peratus bagi 2026, merosot 0.2 mata peratusan daripada unjuran sebelumnya pada Januari.
Di bawah senario itu, harga minyak berada pada purata AS$82 (S$104) setong sepanjang 2026, iaitu penurunan daripada paras terkini sekitar AS$100 (S$127) untuk harga niaga hadapan penanda aras Brent.
Tanpa keganasan di Timur Tengah, IMF menyatakan ia akan menaikkan prospek pertumbuhan sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.4 peratus, disebabkan lonjakan pelaburan teknologi berterusan, kadar faedah lebih rendah, tarif Amerika Syarikat kurang teruk dan sokongan fiskal di sesetengah negara.
Namun perang itu mewujudkan risiko jauh lebih besar terhadap ekonomi global berbanding gelombang awal tarif Presiden Donald Trump setahun lalu, menurut ketua ekonomi IMF Pierre-Olivier Gournchas kepada Reuters dalam satu temu bual.
"Apa yang berlaku di Teluk berkemungkinan lebih besar dan itulah senario yang sedang kita rakamkan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.