Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: IEA turunkan unjuran bekalan minyak dunia bagi 2026

Bekalan dan permintaan minyak global dijangka merosot lebih daripada jangkaan terdahulu pada tahun ini, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: IEA turunkan unjuran bekalan minyak dunia bagi 2026

Kapal-kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz pada 21 Disember 2018. (Gambar fail: REUTERS/Hamad I Mohammed)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 07:05PM
  • Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melaporkan bekalan dan permintaan minyak global dijangka merosot lebih daripada jangkaan tahun ini.
  • Ketiadaan kemajuan dalam konflik di Timur Tengah dan perang Rusia-Ukraine menyebabkan pemulihan aliran minyak tertangguh sehingga 2027.
  • Harga minyak mentah dan bahan api seperti diesel melonjak akibat serangan ke atas kapal tangki serta stok minyak dunia yang semakin susut.
  • Permintaan minyak dunia turut menurun kerana harga bahan api yang tinggi, manakala sistem penapisan global beroperasi pada tahap maksimum.
Dijana oleh AI
LONDON: Bekalan dan permintaan minyak global dijangka merosot lebih daripada jangkaan terdahulu pada tahun ini, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat (11 Sep). Keadaan tersebut disebabkan oleh ketiadaan kemajuan dalam usaha menamatkan perang Iran, sekali gus melambatkan pemulihan aliran minyak Timur Tengah kepada 2027 dan menyebabkan harga bahan api melonjak.

Peningkatan serangan terhadap kapal-kapal tangki minyak di laluan perkapalan Timur Tengah mendorong harga minyak mentah menghampiri AS$110 (S$139.44) setong minggu ini buat kali pertama sejak Mei. Namun, kenaikan itu dibayangi lonjakan harga bahan api seperti diesel, yang mencecah paras rekod.

Bekalan minyak dunia pada 2026 kini dijangka merosot 5.7 juta tong sehari, atau sekitar enam peratus, menurut IEA, berbanding kemerosotan sekitar empat peratus yang diunjurkan sebelum ini. Dengan bekalan yang berkurangan, stok minyak dunia semakin susut pada kadar rekod. Stok global merosot 3.1 juta tong sehari pada Ogos, menurut IEA.

"Setakat ini, stok minyak memainkan peranan penting dalam mengimbangi pasaran," menurut IEA, yang memberi nasihat kepada negara-negara perindustrian, dalam laporan bulanannya.

"Dengan stok penampan semakin berkurangan dan sistem penapisan global beroperasi pada tahap maksimum, kemajuan dalam menghuraikan konflik di Timur Tengah – serta perang Rusia-Ukraine, yang kini memasuki tahun kelima – semakin diperlukan bagi mengelakkan pasaran menjadi lebih ketat."

Permintaan juga merosot lebih daripada jangkaan, sebahagiannya disebabkan oleh harga bahan api yang mencecah paras rekod. Permintaan minyak dunia dijangka berkurangan 2.5 juta tong sehari tahun ini, menurut IEA, lebih besar berbanding unjuran sebelumnya yang menjangkakan kemerosotan sebanyak 1.6 juta tong sehari.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita