Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: ICRC hantar barangan bantuan pertama ke Iran sejak perang

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: ICRC hantar barangan bantuan pertama ke Iran sejak perang

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyalurkan 171 tan barangan bantuan asas kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), dengan penghantaran awal melibatkan lima trak. (Gambar: ICRC)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 16 Apr 2026 10:56AM
TEHRAN: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyalurkan 171,000 kilogram barangan bantuan asas kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), dengan penghantaran awal melibatkan lima trak, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Menurut ICRC di Tehran, kargo itu merupakan kumpulan pertama bantuan ICRC ke Iran sejak pencerobohan Amerika Syarikat-Israel dan antara penghantaran bantuan kemanusiaan rentas sempadan terawal dalam tempoh enam minggu lalu.

Secara keseluruhan, 14 trak dihantar dari gudang ICRC di Jordan, membawa barangan bagi memenuhi keperluan hampir 25,000 penduduk.

Bekalan itu merangkumi selimut, bekas air, peralatan memasak, kanvas kalis hujan, kit kebersihan, lampu solar, baldi dan tilam.

Penghantaran pertama bantuan itu melibatkan lima trak yang diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Iran untuk diagihkan.

Baki sembilan trak lagi akan diserahkan menjelang hujung minggu ini.

Selain itu, 200 janakuasa elektrik dan 100 pam air yang dibeli dari pasaran tempatan di Iran turut disumbangkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

ICRC juga sedang membuat persiapan untuk menghantar lebih banyak bekalan perubatan dan bantuan penting lain, yang diharapkan dapat disalurkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang sedang pertubuhan tersebut meningkatkan sokongannya terhadap tindak balas kemanusiaan IRCS.

“Sedang keperluan kemanusiaan kekal tinggi di seluruh negara, kami berharap penghantaran ini dapat membawa sedikit kelegaan kepada masyarakat yang sedang menanggung kesan dahsyat perang,” kata ketua delegasi ICRC di Iran, Vincent Cassard.

“Kami menyasarkan untuk memperluas sokongan kami dalam beberapa minggu akan datang dan terus mendukung usaha kemanusiaan IRCS.

“Tindak balas mereka yang penuh dedikasi amat luar biasa, khususnya dalam keadaan mencabar. Kami kekal komited untuk menyokong dan memperkasa usaha penting mereka,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita