Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: IAEA gesa Iran beri kerjasama; Amerika terajui usaha lucutkan program nuklear

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: IAEA gesa Iran beri kerjasama; Amerika terajui usaha lucutkan program nuklear

Logo Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kelihatan di hadapan ibu pejabat agensi itu di Vienna, Austria pada 30 Januari 2026. (Gambar fail: REUTERS/Elisabeth Mandl)

Diterbitkan : 09 Jun 2026 07:36AM
VIENNA: Ketua badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi, pada Isnin (8 Jun) menggesa Iran supaya kembali memberikan kerjasama agar pemeriksaan dapat disambung semula ke atas tapak-tapak yang dibedil oleh Amerika Syarikat dan Israel setahun lalu, sedang Amerika Syarikat menerajui usaha untuk mencapai matlamat tersebut.

Iran masih belum memaklumkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai keadaan tapak nuklear yang dibom itu mahupun bahan nuklear yang disimpan di situ, termasuk uranium yang diperkaya hampir ke tahap gred senjata.

Walaupun serangan tersebut memusnahkan atau merosakkan teruk kemudahan pengayaan uranium, sebahagian besar uranium yang diperkaya pada tahap tinggi dipercayai masih wujud, termasuk uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, hanya selangkah daripada tahap kira-kira 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.

SALURAN KOMUNIKASI 'TERPUTUS'

“Adalah sangat penting untuk kita kembali berbincang,” kata Encik Grossi kepada Lembaga Gabenor IAEA yang dianggotai 35 negara pada hari pertama mesyuarat suku tahunan agensi itu.

“Saya menggesa Iran supaya bekerjasama secara membina dengan agensi itu bagi memudahkan pelaksanaan penuh dan berkesan langkah-langkah perlindungan di Iran,” katanya dalam kenyataan bertulis berasingan kepada lembaga tersebut, menggunakan istilah yang merangkumi pemeriksaan dan pemantauan.

IAEA masih menjalankan beberapa pemeriksaan ke atas tapak-tapak yang tidak dibom, namun pemeriksaan di lokasi-lokasi lain dihentikan atas faktor keselamatan pada Februari lalu berikutan serangan tentera yang diperbaharui.

Sejak itu, agensi berkenaan hanya memeriksa loji janakuasa nuklear Iran yang masih beroperasi di Bushehr.

“Saya mempunyai hubungan secara berkala dengan menteri luar dan beberapa pihak lain, tetapi pada asasnya saluran komunikasi sudah terputus,” kata Encik Grossi kepada sidang media selepas berucap kepada lembaga tersebut.

Pada Isnin (8 Jun), Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mengemukakan draf ketetapan kepada lembaga tersebut untuk diundi minggu ini.

Teks ketetapan itu yang dilihat Reuters mengarahkan Iran supaya memberikan “maklumat lengkap” mengenai uranium diperkaya yang dimilikinya serta memberikan IAEA akses penuh yang diperlukan untuk mengesahkan perkara itu “tanpa berlengah”.

Walaupun para diplomat menjangkakan ketetapan itu akan diluluskan dengan majoriti yang jelas seperti resolusi serupa pada November lalu, langkah tersebut berisiko merumitkan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran yang bertujuan melanjutkan tempoh gencatan senjata serta membuka jalan kepada rundingan lebih luas, termasuk mengenai program nuklear Iran.

TEHRAN BERI AMARAN KEPADA LEMBAGA IAEA

“Liabiliti bagi perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa terletak pada pelakunya dan tidak boleh dipindahkan kepada mangsa. Lembaga ini tidak sepatutnya diperalatkan untuk membebaskan pihak yang melancarkan serangan tersebut daripada tanggungjawab mereka,” kata Duta Iran ke IAEA menerusi platform X, merujuk kepada draf ketetapan dan serangan Amerika Syarikat.

Iran sebelum ini bertindak balas terhadap ketetapan yang mengkritiknya dengan meningkatkan aktiviti nuklear atau mengurangkan kerjasama dengan IAEA.

“Lembaga perlu berhati-hati dalam menentukan langkah seterusnya. Paksaan dan konfrontasi tidak akan membawa kepada kerjasama. Ia hanya menjejaskan prospek huraian diplomatik,” tambah kenyataan itu.

Israel dan Iran saling melancarkan serangan tentera pada lewat Ahad dan pada Isnin, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menuntut supaya kedua-dua pihak “segera menghentikan serangan”.

Dalam wawancara bersama Financial Times pada Ahad (7 Jun) selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel, Encik Trump berkata: “Ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada perjanjian (dengan Iran).”
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita