Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Houthi tuduh Saudi lancar puluhan serangan ke atas ibu kota Yaman

Kumpulan Houthi di Yaman menuduh Arab Saudi melancarkan puluhan serangan ke atas Sanaa pada Sabtu (3 Okt), manakala seorang wartawan AFP di Riyadh melaporkan api dan asap yang kelihatan dari sebuah kemudahan minyak di pinggir ibu kota Saudi itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Houthi tuduh Saudi lancar puluhan serangan ke atas ibu kota Yaman

Asap kelihatan menyusuli letupan dalam serangan yang menurut Angkatan Bersenjata Yaman menyasarkan anggota, peralatan dan pergerakan Houthi di Taiz, Yaman, dalam petikan skrin daripada video yang dikeluarkan pada 1 Oktober 2026. (Gambar: Pusat Media Angkatan Bersenjata Yaman/Edaran menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 06:29AM
US, Israel and Iran war: Houthis accuse Saudi Arabia of launching dozens of attacks on Yemen's capital
  • The Houthis accused Saudi Arabia of launching 26 attacks on Sanaa on Saturday, as journalists reported explosions and warplanes firing missiles at the city.
  • On the same day, fire and smoke were seen at the Aramco refinery south of Riyadh, but Saudi Arabia and the Houthis had yet to explain the cause or comment on the incident.
  • The Yemen war has intensified again since July after an Iranian flight to Sanaa without Riyadh's authorisation, followed by Saudi attacks, Houthi retaliatory attacks and a battle for the Bab al-Mandab area.
  • Fighting in Taiz killed dozens of members from both sides, while the WFP warned that three-quarters of Yemen's population could not meet their basic food needs.
Dijana oleh AI
SANAA: Kumpulan Houthi di Yaman menuduh Arab Saudi melancarkan puluhan serangan ke atas Sanaa pada Sabtu (3 Okt), manakala seorang wartawan AFP di Riyadh melaporkan api dan asap yang kelihatan dari sebuah kemudahan minyak di pinggir ibu kota Saudi itu.

Walaupun para pegawai Saudi dan Houthi belum mengulas berhubung kebakaran di loji penapisan tersebut, kumpulan yang disokong Iran itu sejak beberapa minggu lalu melancarkan serangan ke atas kemudahan-kemudahan minyak di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada perang di Yaman, dengan Riyadh menyokong pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Kedua-dua pihak saling melancarkan serangan sejak kumpulan Houthi menawan seluruh pesisir Laut Merah Yaman dan menguasai Selat Bab al-Mandab dalam satu serangan kilat.

Saluran Al-Masirah TV yang bersekutu dengan kumpulan Houthi melaporkan bahawa "pesawat musuh Saudi" melancarkan 26 serangan ke atas Sanaa, selepas melaporkan tentang "pencerobohan Saudi" terhadap ibu kota Yaman tersebut, tanpa memberikan butiran berhubung sasaran atau jumlah korban.

Dua wartawan di Sanaa melaporkan mendengar letupan kuat dan melihat pesawat perang melancarkan peluru berpandu ke arah bandar tersebut.

Di Arab Saudi, api dan asap dilihat menjulang dari sebuah kemudahan milik syarikat minyak negara Aramco di selatan Riyadh pada petang Sabtu, menurut seorang wartawan AFP, meskipun kumpulan Houthi dan pihak berkuasa Saudi belum mengulas mengenai kejadian tersebut.

Punca kejadian masih belum jelas, namun kumpulan Houthi mengaku melancarkan beberapa serangan ke atas kemudahan milik Aramco, yang sebahagian besarnya dimiliki pemerintah Saudi, sejak beberapa bulan lalu.

Wartawan tersebut melaporkan melihat anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di loji penapisan milik syarikat tenaga tersebut di Riyadh, yang terletak di selatan ibu kota, manakala ambulans dan kenderaan polis ditempatkan berhampiran kemudahan tersebut.

Saluran Al-Masirah milik kumpulan Houthi pada awal Sabtu turut melaporkan serangan peluru berpandu ke atas rangkaian telekomunikasi di wilayah Saada di barat laut Yaman, salah satu kubu kuat kumpulan tersebut.

Ia berlaku selepas kumpulan Houthi menyatakan bahawa Arab Saudi mengebom ibu kota Yaman pada Khamis malam buat kali pertama sejak pertempuran antara kedua-dua pihak tercetus semula pada Julai.

AMARAN BERHUBUNG KELAPARAN

Selepas beberapa tahun keadaan tenang, Yaman kembali terjerumus ke dalam peperangan saudara pada bulan tersebut, melibatkan kumpulan Houthi yang disokong Iran dan menguasai sebahagian besar barat laut Yaman termasuk Sanaa, dengan pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Pemerintah yang berpangkalan di Aden menguasai sebahagian besar kawasan selatan dan timur negara itu – wilayah yang lebih luas tetapi mempunyai jumlah penduduk yang jauh lebih kecil.

Pertempuran tercetus semula selepas empat tahun gencatan senjata yang rapuh apabila Iran menghantar sebuah pesawat ke Sanaa yang membawa delegasi kumpulan Houthi.

Penerbangan tersebut tidak mendapatkan kebenaran daripada Arab Saudi, sekali gus melanggar amalan yang dilaksanakan sejak sedekad lalu.

Riyadh bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas lapangan terbang Sanaa, dan sebagai respons, kumpulan Houthi menyerang wilayah Arab Saudi buat kali pertama sejak 2022.

Sejak itu, pertempuran semakin sengit dengan kumpulan Houthi melancarkan serangan kilat yang menyaksikan kumpulan tersebut menguasai kawasan pesisir di sepanjang Selat Bab al-Mandab.

Kumpulan Houthi turut menyerang beberapa sasaran di Arab Saudi, termasuk prasarana minyak dan ibu kota Riyadh, selain mengumumkan sekatan laut terhadap kapal-kapal Saudi di Laut Merah.

Pertempuran yang tercetus semula memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah buruk di Yaman, salah sebuah negara termiskin di dunia. Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran pada Jumaat bahawa tiga perempat penduduk tidak mampu memenuhi keperluan asas makanan mereka.

PERTEMPURAN UNTUK REBUT TAIZ

Pertempuran sejak beberapa hari lalu tertumpu di Taiz, dengan sumber daripada kedua-dua pihak melaporkan puluhan anggota terbunuh pada Jumaat.

Kumpulan Houthi melaporkan 55 anggotanya terbunuh, manakala sumber pemerintah memberitahu AFP bahawa 26 anggota tentera maut.

Pertempuran bagi merebut Taiz berlaku di beberapa medan, termasuk kawasan tanah tinggi yang menghadap kawasan pesisir yang baru-baru ini ditawan kumpulan Houthi.

Walaupun kumpulan Houthi sudah menawan kawasan yang luas, kumpulan itu masih belum berjaya menguasai bandar Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman selepas Sanaa dan Aden.

Kumpulan Houthi pada Jumaat turut menyatakan, Arab Saudi melancarkan 94 serangan ke atas kawasan di bawah kawalannya dalam tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa Saudi pula melaporkan bahawa sebuah sekolah di bandar Najran berhampiran sempadan Yaman rosak akibat objek yang dilancarkan kumpulan Houthi.

Riyadh dilaporkan meminta bantuan Amerika Syarikat, namun permintaan itu setakat ini tidak disambut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pada Sabtu, media Amerika Syarikat Axios melaporkan bahawa anggota kanan kabinet pentadbiran Encik Trump mengadakan pertemuan sehari sebelumnya untuk membincangkan Yaman serta perang Iran, dengan memetik tiga orang pegawai Amerika Syarikat.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita