Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Houthi mara di pesisir Yaman, ancam eksport minyak Saudi di Laut Merah

Houthi menguasai bandar pelabuhan Mocha di Yaman pada Khamis (10 Sep) dan mara ke arah Selat Bab al-Mandeb, iaitu salah satu laluan perkapalan terpenting dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Houthi mara di pesisir Yaman, ancam eksport minyak Saudi di Laut Merah

Beberapa trak terbakar dalam serangan yang menurut Houthi menyasarkan kenderaan dari wilayah Arab Saudi di lintasan sempadan Al-Wadiah antara Arab Saudi dan Yaman pada 7 September 2026. (Gambar: Houthi Media Centre/Handout via REUTERS)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 10:22AM
  • Kumpulan Houthi menawan bandar Mocha di Yaman dan mara ke Selat Bab al-Mandeb pada 10 September, mengukuhkan kedudukan mereka di laluan perkapalan utama dunia.
  • Tindakan ini meningkatkan ketegangan serantau, dengan tentera Yaman berundur dan Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan akibat serangan Houthi.
  • Penguasaan Houthi ke atas laluan strategik ini menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global, menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak sehingga 4 peratus.
  • Iran didakwa memberi sokongan langsung kepada Houthi, manakala PBB dan negara serantau memberi amaran bahawa konflik ini boleh membawa implikasi lebih besar terhadap keselamatan dan ekonomi dunia.
Dijana oleh AI
KAHERAH: Houthi menguasai bandar pelabuhan Mocha di Yaman pada Khamis (10 Sep) dan mara ke arah Selat Bab al-Mandeb, iaitu salah satu laluan perkapalan terpenting dunia.

Menurut sumber tentera pemerintah Yaman, kumpulan yang disokong Iran itu turut mara di sepanjang pesisir Laut Merah hingga ke kepulauan strategik Hanish.

Kemaraan tersebut mengukuhkan kedudukan Houthi di sekitar Selat Bab al-Mandeb, iaitu laluan perairan penting yang menghubungkan Asia dengan Eropah menerusi Laut Merah dan Terusan Suez.

Tentera pemerintah Yaman dan sekutunya kini berundur ke arah selatan menuju Dhubab, yang terletak di Selat Bab al-Mandeb dan bertentangan dengan Pulau Perim.

Penguasaan Dhubab dan pulau tersebut dianggap penting untuk menguasai selat berkenaan.

Kejayaan Houthi menguasai Mocha merupakan pencapaian wilayah terbesar kumpulan itu sejak 2022.

LALUAN PENTING BEKALAN MINYAK GLOBAL

Selat Bab al-Mandeb menjadi semakin penting bagi bekalan minyak global menyusuli penutupan Selat Hormuz akibat perang Amerika terhadap Iran.

Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, semakin bergantung kepada laluan Laut Merah selepas ketegangan di Selat Hormuz menjejas laluan yang sebelum ini digunakan untuk mengangkut kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Pusat penyelarasan operasi kemanusiaan yang dikendalikan Houthi menyatakan pelayaran di Laut Merah kekal selamat bagi semua syarikat perkapalan kecuali kapal Arab Saudi.

Sekiranya Houthi menguasai Selat Bab al-Mandeb, Iran berpotensi memperoleh kelebihan strategik dalam perangnya dengan Amerika Syarikat dengan menjejas aliran bekalan menerusi satu lagi laluan utama perkapalan dunia.

Utusan Khas PBB bagi Yaman Hans Grundberg memberi amaran kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis (10 Sep) bahawa perkembangan itu membawa perang Yaman ke "fasa baharu yang lebih berbahaya".

Menurutnya, penguasaan ke atas Mocha memberikan Houthi kehadiran secara langsung di laluan menuju ke salah satu selat paling penting di dunia dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan pelayaran.

HARGA MINYAK MELONJAK

Harga minyak mentah Brent melonjak sehingga 4 peratus kepada lebih AS$105 (S$133) setong pada Khamis (10 Sep) berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan laluan bekalan.

Houthi mengisytiharkan kepungan laut terhadap Arab Saudi pada Julai selepas menyertai perang di Timur Tengah dengan melancarkan serangan terhadap Israel pada Mac.

Ketegangan terus meningkat dengan pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan di bandar Khamis Mushait buat kali keempat dalam tempoh 24 jam ketika Houthi melancarkan serangan.

Sumber Arab Saudi, Pakistan dan Iran berkata Pakistan turut menyampaikan amaran Arab Saudi kepada Iran supaya mengekang Houthi bagi mengelakkan keadaan daripada bertambah buruk.

Namun, seorang pegawai kanan Iran berkata Tehran tidak mengawal Houthi.

Sumber pemerintah Yaman, Iran dan serantau pula memberitahu Reuters bahawa kemaraan Houthi di sepanjang pesisir minggu ini dilakukan dengan panduan langsung Pasukan Pengawal Revolusi Iran.

Jurucakap Houthi Mohammed Abdulsalam berkata operasi kumpulan itu bersifat mempertahankan diri dan akan dihentikan apabila serangan terhadap Yaman dihentikan.

TRUMP JANGKA PERANG TAMAT SELEPAS PILIHAN RAYA

Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Donald Trump berkata beliau menjangkakan perang dengan Iran akan berakhir selepas pilihan raya separuh penggal Amerika pada November.

Encik Trump mendakwa Iran cuba mempengaruhi pilihan raya tersebut, yang akan menentukan sama ada parti Republican dapat mengekalkan penguasaan ke atas Kongres.

Pertempuran yang kembali meningkat bulan ini turut menjejas usaha untuk membuka semula laluan di Selat Hormuz secara beransur-ansur.

Hanya tujuh kapal melalui selat itu pada Rabu (9 Sep), iaitu sekitar separuh daripada purata bagi tempoh 10 hari sebelumnya, menurut data awal pengesanan kapal.

Media pemerintah Iran pula melaporkan pada Khamis (10 Sep) bahawa Tentera Laut Pasukan Pengawal Revolusi Iran menyerang sebuah kapal tanpa pemandu Amerika di pintu masuk Selat Hormuz.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita