Perang Amerika, Israel dan Iran: Houthi cuba kuasai kawasan tanah tinggi strategik Yaman; Trump dilapor batal serangan udara
Kumpulan Houthi cuba menguasai kawasan tanah tinggi strategik di Yaman pada Isnin (21 Sep) bagi memutuskan hubungan antara pesisir Laut Merah dengan kawasan yang masih dikuasai pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran melepaskan tembakan ke arah pasukan yang disokong Arab Saudi di wilayah Al Jawf, Yaman, dalam petikan skrin daripada video yang dikeluarkan pada 15 September 2026. (Gambar: Houthi Military Media/Edaran menerusi REUTERS)
- Houthi cuba menguasai Pergunungan Kahboub di Taiz dan Lahij pada 21 Sep untuk memutuskan hubungan pesisir Laut Merah dengan kawasan pemerintah Yaman.
- Kemaraan itu menyusul selepas Houthi menawan pesisir Laut Merah dan mengukuhkan kedudukan sekitar Selat Bab al-Mandab, dengan pertempuran di Al-Wazi'iyah dan Ras al-Ara.
- The New York Times melaporkan Trump membatalkan serangan udara terhadap Houthi pada saat akhir selepas permintaan Mohammed bin Salman, namun Reuters tidak mengesahkannya.
- PBB menyatakan hampir 700 orang maut, ribuan cedera, lebih 120,000 penduduk berpindah dalam Yaman, dan ribuan lagi melarikan diri ke Afrika.
Kemaraan itu berlaku selepas Houthi menawan pesisir Laut Merah Yaman dan mengukuhkan penguasaannya di sekitar Selat Bab al-Mandab dalam serangan pantas bulan ini.
Menurut lima sumber tentera Yaman yang dipetik Reuters, Houthi kini cuba menguasai kawasan tanah tinggi strategik yang dikenali sebagai Pergunungan Kahboub di wilayah Taiz dan Lahij.
Kawasan itu memisahkan pesisir Laut Merah daripada selatan Yaman yang masih dikuasai pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Pertempuran tertumpu di pinggir daerah pergunungan Al-Wazi'iyah di wilayah Taiz serta Ras al-Ara di pesisir Lautan Hindi.
Menurut sumber-sumber tersebut, penguasaan kawasan tanah tinggi itu akan membantu Houthi melindungi kedudukan pasukannya di sekitar Selat Bab al-Mandab serta membuka medan pertempuran baharu.
TRUMP DILAPOR BATAL SERANGAN UDARA
Pada masa yang sama, The New York Times melaporkan pentadbiran Trump pada Ahad (20 Sep) sudah membuat persiapan untuk melancarkan serangan udara terhadap Houthi selepas permintaan baharu daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Namun menurut laporan itu, Presiden Amerika Donald Trump membatalkan serangan tersebut pada saat-saat akhir, ketika bom sedang dimuatkan ke dalam pesawat.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan tersebut secara bebas.
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) juga tidak memberikan respons kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Amerika sebelum ini melancarkan serangan terhadap Houthi selama dua bulan pada 2025 sebelum Encik Trump menghentikannya selepas mencapai gencatan senjata dengan kumpulan tersebut.
HAMPIR 700 MAUT
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 700 orang maut dan ribuan lagi cedera sejak pertempuran kembali memuncak.
Lebih 120,000 penduduk Yaman pula meninggalkan kediaman mereka dan berpindah ke kawasan lain di dalam negara, manakala ribuan lagi melarikan diri dengan bot merentasi Laut Merah ke Afrika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.