Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Hezbollah tolak perjanjian keselamatan Israel-Lubnan yang diusahakan Amerika

Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem, pada Sabtu (27 Jun) menolak perjanjian keselamatan yang diusahakan Amerika Syarikat antara Lubnan dan Israel, sehari selepas ia ditandatangani, sambil menyifatkannya sebagai tindakan menyerah kalah kepada Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Hezbollah tolak perjanjian keselamatan Israel-Lubnan yang diusahakan Amerika

Kenderaan tentera Israel dipandu melepasi bangunan-bangunan yang musnah di Lubnan, seperti yang dilihat dari utara Israel pada 27 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Amir Cohen)

Diterbitkan : 27 Jun 2026 10:43PM
  • Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem, menolak perjanjian keselamatan antara Lubnan dan Israel yang diusahakan Amerika Syarikat, menyifatkannya sebagai mengorbankan kedaulatan Lubnan.
  • Perjanjian itu memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan, namun membenarkan kehadiran sementara mereka di zon keselamatan yang diperluaskan.
  • Hezbollah mengecam syarat pelucutan senjata dan menegaskan akan meneruskan pertempuran bersenjata walaupun terdapat tekanan antarabangsa.
  • Serangan dron Israel di Nabatieh al-Fawqa pada Sabtu menunjukkan konflik masih berterusan walaupun beberapa perjanjian dan gencatan senjata telah dimeterai.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem, pada Sabtu (27 Jun) menolak perjanjian keselamatan yang diusahakan Amerika Syarikat antara Lubnan dan Israel, sehari selepas ia ditandatangani, sambil menyifatkannya sebagai tindakan menyerah kalah kepada Israel.

Dalam perkembangan terbaharu yang menunjukkan permusuhan berterusan meskipun beberapa gencatan senjata dan perjanjian sudah dimeterai, Israel melancarkan serangan dron di selatan Lubnan.

Lebih sejuta rakyat Lubnan terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat konflik yang berlaku seiring dengan perang lebih meluas melibatkan Iran. Hezbollah dan Iran menyatakan, Washington sebelum ini berjanji untuk menamatkan permusuhan di Lubnan sebagai sebahagian daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani dua minggu lalu bagi menamatkan perang tersebut.

Rangka kerja yang dipersetujui pada Jumaat itu memperuntukkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari beberapa kawasan di selatan Lubnan, seiring dengan penempatan tentera Lubnan. Namun, tentera Israel dibenarkan kekal buat sementara waktu di zon keselamatan yang diperluaskan sehingga pelaksanaan lanjut perjanjian tersebut.

Dalam satu kenyataan, Encik Qassem menyifatkan perjanjian itu sebagai "tidak sah dan terbatal", serta menuduh pemerintah Lubnan membuat konsesi secara sehala dan menjejaskan kedaulatan negara itu.

Beliau mengecam peruntukan yang mengaitkan pengunduran Israel dengan pelucutan senjata Hezbollah, dengan menyatakan ia secara tidak langsung mengesahkan kehadiran tentera Israel dan melangkaui "semua garis merah".

Tambah beliau, kumpulan itu akan tetap meneruskan pertempuran bersenjatanya.

"Kami tidak meninggalkan medan tempur dalam keadaan yang paling mendesak, dan kami tidak akan meninggalkannya."

Agensi berita negara Lubnan melaporkan sebuah dron Israel menyerang Nabatieh al-Fawqa pada Sabtu. Kawasan itu terletak di luar zon keselamatan yang dipaparkan dalam peta yang diterbitkan Israel berhubung wilayah yang akan terus dikawal tenteranya.

Tentera Israel memberitahu Reuters bahawa pihaknya melancarkan serangan itu menggunakan dron kerana tiada anggota tentera yang berada di kawasan berkenaan. Menurutnya, sasaran serangan merupakan seorang individu yang dikatakan mengancam tenteranya, namun tidak memberikan butiran lanjut atau sebarang bukti.

Encik Qassem berkata memorandum persefahaman Iran-Amerika Syarikat yang dicapai awal bulan ini, yang menjamin keutuhan wilayah Lubnan, sepatutnya dijadikan asas untuk menamatkan konflik itu, dan bukannya perjanjian Washington yang dimeterai pada Jumaat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita