Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut selepas Iran beri isyarat terbuka kepada diplomasi
Harga minyak susut pada Khamis (24 Sep), selepas melonjak 4 peratus pada sesi sebelumnya, sedang Iran menyatakan ia kekal terbuka kepada diplomasi bagi menamatkan perang dengan Amerika Syarikat.
Pemandangan dari udara sebuah kapal tangki minyak, HELGA, yang berlabuh di salah sebuah terminal minyak luar pesisir Iraq berhampiran Basra pada 24 April 2026. (Gambar fail: REUTERS/Mohammed Aty)
Namun, kedua-dua negara masih berbeza pendirian mengenai langkah yang perlu diambil bagi menamatkan perang.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 94 sen (S$1.20), atau 0.9 peratus, kepada AS$102.13 (S$130.76) setong.
Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) pula turun 59 sen (S$0.76), atau 0.7 peratus, kepada AS$91.56 setong (S$117.23).
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters bahawa diplomasi perlu diteruskan meskipun Tehran dan Washington masih berbeza pendirian.
Tehran sedang meneliti respons Washington terhadap cadangan damainya, yang memberi keutamaan kepada penamatan kepungan laut Amerika ke atas pelabuhan Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.
Pembukaan semula Selat Hormuz dan penamatan kepungan itu turut dibincangkan dalam rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak pada Selasa (22 Sep).
Iran sebelum ini menyatakan ia bersedia membuka semula Selat Hormuz jika Amerika mengurangkan tekanan ketenteraan dan menamatkan kepungan terhadap pelabuhannya.
IRAN, AMERIKA MASIH BERBEZA PENDIRIAN
Ketua keselamatan Iran Mohsen Rezaei berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka semula selagi syarat Tehran belum dipenuhi.
Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio pula berkata usaha mencapai persetujuan dengan Iran memerlukan kerja keras dalam satu tempoh tertentu, sambil menambah bahawa Presiden Donald Trump masih mempunyai pilihan ketenteraan.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik bagi bekalan tenaga dunia. Sebelum perang tercetus, sekitar 20 peratus bekalan harian minyak mentah dan gas asli cecair dunia melalui laluan itu.
PASARAN PANTAU KEMUNGKINAN SEKATAN EKSPORT DIESEL
Para pedagang turut memantau kemungkinan Amerika mengenakan sekatan terhadap eksport diesel.
Niaga hadapan diesel sulfur ultra rendah turun sekitar 5 peratus selepas Politico melaporkan pentadbiran Encik Trump sedang menyediakan rancangan bagi larangan eksport diesel selama 90 hari.
Rumah Putih bagaimanapun menafikan laporan tersebut.
Secara berasingan, Bloomberg melaporkan Setiausaha Tenaga Amerika Chris Wright meminta para pemimpin industri minyak supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan sekatan terhadap eksport diesel.
Encik Wright sebelum ini berkata larangan eksport diesel tidak akan berkesan, meskipun Encik Trump menyatakan sokongan terhadap langkah tersebut.
Sementara itu, simpanan minyak mentah Amerika meningkat sebanyak tiga juta tong kepada 426.4 juta tong minggu lalu, berbanding jangkaan penganalisis bahawa ia akan susut sebanyak 641,000 tong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.