Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut 1% di tengah harapan gangguan bekalan yang terhad terhadap pasaran

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut 1% di tengah harapan gangguan bekalan yang terhad terhadap pasaran

Kapal-kapal dilihat berhampiran Selat Hormuz dari Musandam, Oman, pada 31 Ogos 2026. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 18 Sep 2026 10:45AM
  • Harga minyak Brent dan WTI turun sekitar satu peratus pada Jumaat untuk sesi ketiga, tetapi masih melebihi AS$100 setong.
  • Pasaran kurang bimbang terhadap serangan Arab Saudi-Houthi kerana laluan alternatif dijangka membantu bekalan minyak Timur Tengah.
  • Saluran paip Timur-Barat Arab Saudi ke Yanbu rosak selepas serangan dron, menjejaskan penghantaran dan berpotensi mengganggu empat peratus bekalan global.
  • Arab Saudi menawarkan kargo kepada penapis Asia melalui Sohar, sementara PBB akan membincangkan perang Amerika-Israel terhadap Iran minggu depan.
Dijana oleh AI
RIYADH: Harga minyak susut sekitar satu peratus pada Jumaat, meneruskan penurunan bagi sesi ketiga berturut-turut.

Namun ia kekal melebihi AS$100 (S$127.50) setong apabila harapan terhadap laluan alternatif untuk membawa minyak Timur Tengah ke pasaran mengatasi kebimbangan mengenai serangan antara Arab Saudi dengan Houthi Yaman.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$1.01 (S$1.29), atau satu peratus, kepada AS$103.77 (S$132.35) setong setakat 0020 GMT, manakala niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat turun AS$1.03 (S$1.31), atau satu peratus, kepada AS$100.88 (S$128.66) setong. Kedua-dua penanda aras ditutup sekitar satu peratus lebih rendah pada Khamis.

Pasaran sebahagian besarnya mengetepikan kebimbangan mengenai ancaman baharu terhadap bekalan meskipun Arab Saudi dan Houthi Yaman yang disokong Iran saling melancarkan serangan baharu merentasi sempadan pada Khamis, sekali gus meluaskan medan perang di Timur Tengah.

Harga minyak meningkat ke sekitar paras tertinggi dalam empat bulan minggu ini selepas sumber berkata pemuatan minyak mentah di hab eksport Laut Merah Arab Saudi di Yanbu digantung dan Riyadh membatalkan beberapa penghantaran ke Eropah selepas saluran paip Timur-Baratnya rosak dalam serangan minggu lalu.

Sumber yang bercakap dengan Reuters memberikan anggaran berbeza mengenai tempoh yang diperlukan untuk membuka semula saluran paip itu dan memulihkan aliran minyak mentah kepada paras biasa.

Tiga stesen pam di sepanjang saluran paip tersebut - lebih satu daripada penilaian sebelum ini - mengalami kerosakan, menurut gambar satelit dan tiga sumber industri. Para pedagang berkata penutupan berpanjangan saluran paip ke Yanbu boleh menjejas sehingga empat peratus bekalan minyak global.

Bloomberg melaporkan Arab Saudi sedang berusaha memulihkan kira-kira separuh kapasiti saluran paip minyak Timur-Baratnya dalam tempoh beberapa hari selepas laluan penting ke Laut Merah itu terhenti operasi minggu lalu menyusuli serangan dron.

Arab Saudi turut menawarkan lebih banyak kargo minyak mentah kepada syarikat penapisan Asia menerusi pemindahan dari kapal ke kapal di luar pelabuhan Sohar, Oman. Langkah itu boleh membantu mengimbangi sebahagian gangguan akibat serangan terhadap saluran paip Timur-Barat.

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright berkata minyak mentah dijangka kembali mengalir menerusi saluran paip itu dalam beberapa hari.

Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran menyatakan sebuah kapal tangki minyak berbendera Togo diserang ketika cuba membuat “laluan secara haram” menerusi Selat Hormuz pada Khamis, menurut media pemerintah Iran pada awal Jumaat.

Menggambarkan ketidaktentuan pasaran, JPMorgan menyatakan pada Khamis, buat kali pertama sejak perang Amerika-Israel terhadap Iran bermula, ia tidak mempunyai gambaran asas yang jelas mengenai hala tuju pasaran minyak.

Amerika Syarikat dan Iran tidak mengadakan sebarang rundingan damai sejak perjanjian sementara yang dicapai pada Jun gagal bertahan dan berakhir dalam tempoh beberapa minggu.

Perang tersebut akan dibincangkan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan dan delegasi Iran akan dibenarkan menghadirinya, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita