Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak naik lebih 7% selepas Trump ikrar tindakan tegas terhadap Tehran

Harga minyak meningkat lebih tujuh peratus pada Rabu (29 Jul) selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Washington akan memberikan tindakan balas tegas terhadap cubaan serangan Iran ke atas tentera Amerika di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak naik lebih 7% selepas Trump ikrar tindakan tegas terhadap Tehran

Sebuah pam dan pelantar penggerudian minyak di selatan Midland, Texas, Amerika Syarikat, pada 11 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Eli Hartman)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 07:31AM Dikemas Kini : 30 Jul 2026 08:11AM
  • Harga minyak dunia melonjak lebih tujuh peratus selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran tindak balas tegas terhadap serangan Iran ke atas tentera Amerika di Timur Tengah.
  • Serangan peluru berpandu oleh Kor Pengawal Revolusi Iran menyasarkan pangkalan tentera Amerika di Jordan, namun berjaya dipintas oleh CENTCOM.
  • Kebimbangan terhadap bekalan minyak meningkat akibat serangan kumpulan disokong Iran ke atas kemudahan minyak di Arab Saudi dan risiko di Selat Hormuz serta Laut Merah.
  • Data Institut Petroleum Amerika menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat susut 3.3 juta tong minggu lalu, turut menyumbang kepada kenaikan harga.
Dijana oleh AI
ISTANBUL: Harga minyak meningkat lebih tujuh peratus pada Rabu (29 Jul) selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Washington akan memberikan tindakan balas tegas terhadap cubaan serangan Iran ke atas tentera Amerika di Timur Tengah.

Penanda aras minyak mentah Brent meningkat kira-kira tujuh peratus kepada sekitar AS$90 (S$116.19) setong setakat 2.00 petang GMT, manakala penanda aras minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat naik kira-kira tujuh peratus kepada US$84.60 (S$109.22) setong.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Encik Trump berkata, Iran akan berdepan tindak balas tegas selepas Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan peluru berpandu balistik yang menyasarkan tentera Amerika Syarikat.

Menurut Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), peluru berpandu itu berjaya dipintas. Serangan berkenaan dilaporkan menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Jordan.

Pertempuran yang kembali tercetus menamatkan tempoh singkat reda dalam perang yang sebelum ini menyebabkan harga minyak susut pada awal minggu berikutan jangkaan kemungkinan ketegangan akan mereda.

Kebimbangan terhadap bekalan minyak turut meningkat menyusuli serangan oleh kumpulan yang disokong Iran, termasuk serangan dron yang menyasarkan kemudahan minyak di Wilayah Timur Arab Saudi, selain peningkatan risiko terhadap perkapalan di Selat Hormuz dan Laut Merah.

Sementara itu, data Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat susut sebanyak 3.3 juta tong minggu lalu, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak.
Sumber : Bernama/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita