Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak mentah Amerika susut bawah AS$100 selepas Trump umum gencatan senjata dua minggu

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak mentah Amerika susut bawah AS$100 selepas Trump umum gencatan senjata dua minggu

Sebuah bicu pam beroperasi berhampiran rizab minyak mentah di medan minyak Permian Basin berhampiran Midland, Texas, Amerika Syarikat pada 18 Februari 2025. (Gambar fail: Reuters/Eli Hartman)

Diterbitkan : 08 Apr 2026 10:30AM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 10:31AM
PERTH: Harga minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat jatuh hampir AS$20 setong pada Rabu (8 April) selepas Presiden Donald Trump berkata beliau bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran yang bergantung kepada pembukaan semula Selat Hormuz dengan segera dan selamat.

Minyak mentah WTI untuk penghantaran Mei susut AS$18.10, atau 16.02 peratus, kepada AS$94.85 setong setakat 11.20 malam GMT Selasa (7.20 pagi, Rabu, waktu Singapura), selepas mencecah AS$91.05, paras terendah sejak 26 Mac.

Pengumuman itu dibuat sejurus sebelum tarikh akhir yang Encik Trump beri kepada Iran untuk membuka Selat Hormuz, di mana 20 peratus minyak dunia melaluinya, atau menghadapi serangan meluas terhadap infrastruktur awamnya.

Pengumuman itu dibuat di media sosial, di mana beliau sebelum ini berkata pada Selasa bahawa "keseluruhan satu tamadun akan mati malam ini" jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Iran mengatakan ia akan menghentikan serangannya jika serangan terhadapnya dihentikan dan bahawa pelayaran yang selamat melalui Selat Hormuz akan dapat dilakukan selama dua minggu dengan kerjasama angkatan tentera Iran, menurut kenyataan Menteri Luar Abbas Aragchi pada Rabu.

Perang Amerika-Israel terhadap Iran menyebabkan kenaikan harga minyak bulanan paling tinggi dalam sejarah pada bulan Mac, iaitu lebih daripada 50 peratus.

Encik Trump berkata Amerika Syarikat menerima usulan 10 perkara daripada Iran, yang beliau sifatkan sebagai asas yang sesuai dalam rundingan mereka, dan berkata pihak-pihak yang terlibat sudah hampir mencapai persetujuan muktamad bagi keamanan jangka panjang.

"Ia permulaan yang baik dan boleh membuka jalan kepada pembukaan semula yang lebih kekal - tetapi masih banyak kemungkinan yang perlu diselesaikan," tulis penganalisis IG, Tony Sycamore dalam satu nota.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita