Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak jatuh sedang pedagang timbang faktor eksport kukuh dari Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak jatuh sedang pedagang timbang faktor eksport kukuh dari Timur Tengah

Kapal tangki minyak JORYA berhampiran pantai Oman pada 25 Jun 2026. (Gambar:Reuters/Stringer)

Diterbitkan : 06 Oct 2026 10:33AM
United States, Israel and Iran war: Oil prices fall as traders weigh strong exports from the Middle East
  • Oil prices edged down on Tuesday, with Brent at US$100.28 a barrel and WTI at US$89.33, as traders reassessed supply risks.
  • Middle East crude oil exports remained strong in the final week of September, despite attacks on ships passing through the Strait of Hormuz.
  • The G7 agreed on Friday to release 100 million barrels of diesel and crude oil from emergency reserves, following pressure from United States President Donald Trump.
  • However, claims of Houthi attacks on targets in Saudi Arabia, including Riyadh, Rabigh and Abha, continued to keep concerns over Gulf supplies alive.
Dijana oleh AI
RIYADH: Harga minyak susut pada Selasa (6 Okt) menyusuli eksport minyak mentah Timur Tengah yang kekal kukuh dan keputusan G7 untuk melepaskan stok simpanan kecemasan, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap bekalan. Namun, serangan Houthi ke atas sasaran-sasaran di Arab Saudi menyebabkan para pedagang terus berwaspada tentang risiko terhadap bekalan dari Teluk.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 4 sen kepada AS$100.28 (SG$128.27) setong pada 0003 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat susut 11 sen, atau 0.1 peratus, kepada AS$89.33 (SG$114.24) setong.

“Harga minyak tidak banyak berubah selepas penurunan semalam ketika para pedagang terus menilai kebimbangan terhadap bekalan,” kata ketua penganalisis KCM Trade, Tim Waterer.

“Peningkatan jumlah eksport Arab Saudi dan keputusan G7 untuk melepaskan rizab strategik membantu mengehadkan kenaikan harga buat masa ini, walaupun Brent kekal pada paras sekitar AS$100 (SG$128),” katanya.

Eksport minyak mentah dari Timur Tengah melebihi paras sebelum perang selama empat hari pada minggu terakhir September, menurut data perkapalan pada Isnin. Ia menunjukkan aliran minyak serantau kekal kukuh walaupun terdapat serangan terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.

Kebimbangan terhadap bekalan turut berkurangan selepas negara-negara G7 pada Jumaat (2 Okt) bersetuju melepaskan 100 juta tong diesel dan minyak mentah daripada rizab kecemasan serta berjanji tidak mengenakan sekatan eksport tenaga selepas didesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Namun, konflik antara Arab Saudi dengan Houthi yang disokong Iran di Yaman terus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gangguan terhadap bekalan dari pengeksport minyak terbesar di rantau itu, di tengah-tengah kebuntuan dalam rundingan Amerika Syarikat-Iran.

Houthi pada Isnin menyatakan pihaknya melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, sebuah loji penapisan Aramco di Rabigh dan Lapangan Terbang Abha. Tiada pengesahan segera daripada pihak Arab Saudi mengenai kenyataan itu.

Tanpa perkembangan diplomatik yang jelas atau peningkatan ketara selanjutnya dalam kecekapan eksport, paras sokongan harga minyak dijangka kekal kukuh, kata Encik Waterer.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita