Perang Amerika, Israel dan Iran: Hampir 6,000 pelaut terkandas di Teluk susuli serangan berterusan di Selat Hormuz
Hampir 6,000 pelaut masih terkandas di atas kapal yang tidak dapat meninggalkan Teluk dengan selamat menyusuli serangan berterusan terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, kata Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (8 Jul), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Arsenio Dominguez. (Gambar fail: IMO)
Setiausaha Agung IMO Arsenio Dominguez mengutuk serangan terhadap beberapa kapal dagang di Selat Hormuz sepanjang dua hari lalu.
Beliau juga memberi amaran, pelaut yang tidak bersalah sekali lagi berdepan "bahaya yang amat serius."
Beliau berkata beratus-ratus kapal masih terkandas di Teluk sejak perang di Timur Tengah tercetus.
"Tiada seorang pun pelaut sepatutnya perlu mempertaruhkan nyawa hanya kerana menjalankan tugas mereka," kata Encik Dominguez.
Pada masa yang sama, beliau menggesa negara pendaftar kapal, pemilik kapal, pengendali kapal serta pihak berkuasa berkaitan supaya tidak mendedahkan pelaut kepada risiko yang tidak perlu dengan membenarkan kapal melalui Selat Hormuz selagi keselamatan dan perlindungan anak kapal tidak dapat dijamin.
Beliau berkata serangan terbaharu itu meningkatkan lagi ketakutan, ketidaktentuan dan tekanan psikologi dalam kalangan anak kapal yang masih terkandas.
Beliau turut menggesa semua negara yang terlibat agar menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum, meredakan ketegangan tanpa berlengah serta memudahkan kapal yang masih terkandas di Teluk berlepas dengan selamat.
Agensi PBB itu memaklumkan pada bulan lalu bahawa 46 serangan terhadap kapal-kapal antarabangsa di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya disahkan sejak perang bermula pada 28 Februari, mengorbankan 14 pelaut.
Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan paling strategik di dunia kerana ia menghubungkan Teluk dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.