Perang Amerika, Israel dan Iran: Gencatan senjata Iran 'kemenangan mutlak' bagi Amerika Syarikat: Trump
Presiden Donald Trump bersiap sedia untuk berucap tentang perang Iran dari Rumah Putih pada 1 April 2026, di Washington. (Gambar fail: Reuters/Alex Brandon)
Dalam satu panggilan telefon, Encik Trump berkata beliau percaya China telah memujuk Iran untuk berunding, dan berkata uranium yang diperkaya Tehran akan "diurus dengan sempurna".
Pemimpin Amerika Syarikat itu kelihatan yakin tentang gencatan senjata dengan Iran itu, walaupun Tehran juga menganggapnya sebagai kemenangan bagi pihaknya, dan di tengah-tengah persoalan tentang apa yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata hanya sejam sebelum tarikh akhir yang diberi Encik Trump untuk memusnahkan republik Islam itu tamat.
"Kemenangan mutlak. 100 peratus. Tiada persoalan mengenainya," kata Encik Trump kepada AFP dalam panggilan ringkas itu apabila ditanya sama ada beliau mengisytiharkan kemenangan dengan gencatan senjata tersebut.
Dengan ketidakpastian mengenai langkah membuka semula Selat Hormuz kepada kapal-kapal minyak khususnya, Encik Trump menegaskan terdapat rangka kerja yang kukuh untuk perjanjian jangka panjang.
"Kami telah bentangkan 15 perkara, yang mana kebanyakannya telah dipersetujui. Tengok nanti apa yang akan berlaku. Kita lihat nanti sama ada ia dapat dicapai," kata Encik Trump.
Sebelum ini, presiden Republican itu menulis di platform Truth Social beliau bahawa Iran telah mengusulkan 10 perkara, yang "sesuai diusahakan".
Encik Trump tidak mengatakan sama ada beliau akan mengulangi ancaman asalnya untuk memusnahkan loji janakuasa awam dan jambatan Iran jika perjanjian itu gagal.
"Anda perlu tunggu dan lihat," kata Encik Trump kepada AFP.
URANIUM "SUDAH DITANGANI"
Simpanan bekalan uranium yang diperkaya Iran merupakan satu lagi persoalan penting, selepas perang yang didakwa Encik Trump sebahagiannya bertujuan untuk memastikan Iran tidak boleh memperoleh senjata nuklear.
Tetapi Encik Trump menegaskan bahawa bahan nuklear akan dimasukkan ke dalam sebarang perjanjian damai.
"Itu akan diuruskan dengan sempurna. Jika tidak, saya tentu tidak setuju melaksanakan gencatan senjata," kata Encik Trump, tanpa memberi sebarang butiran tentang apa yang akan berlaku kepada simpanan uranium itu.
Gencatan senjata itu dilaksanakan selepas serangan lebih sebulan oleh Amerika Syarikat dan Israel yang menimbulkan kemusnahan besar di Iran, disusuli usaha pengantaraan oleh Pakistan.
Encik Trump berkata bahawa beliau percaya China telah memainkan peranan untuk membawa Iran ke meja rundingan.
"Saya dengar ya," kata Encik Trump apabila ditanya sama ada Beijing terlibat dalam usaha memujuk sekutu utamanya itu untuk berunding mengenai gencatan senjata.
Presiden Amerika Syarikat itu dijadual melakukan lawatan ke Beijing pada pertengahan Mei untuk bertemu rakan sejawatnya di China, Presiden Xi Jinping, dalam sidang puncak penting antara kedua-dua kuasa besar itu.
Lawatan itu pada asalnya dijadualkan pada awal April tetapi Encik Trump menangguhkannya, dengan mengatakan beliau harus berada di Washington untuk menyelia perang Iran.
Beijing merupakan rakan kongsi rapat Tehran dan pembeli utama minyak Iran, yang kebanyakannya melalui Selat Hormuz.
Namun, ia juga mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh dengan negara-negara Teluk dan telah berulang kali mengecam serangan ke atas mereka oleh Iran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.