Perang Amerika, Israel dan Iran: Eropah dijangka kekurangan bahan api jet pada Q4 meski Korea Selatan pembekal terbaharu
Seorang pekerja bersiap sedia untuk mengisi minyak pesawat di lapangan terbang Nikola Tesla Belgrade ketika lapangan terbang di seluruh Eropah Tengah dan Timur bersiap sedia untuk potensi kekurangan bahan api jet dan gangguan penerbangan yang berkaitan dengan krisis Timur Tengah, di Belgrade, Serbia, 29 April 2026. (Gambar: Reuters/Zorana Jevtic)
- Eropah dijangka kekurangan 510,000 tong sehari bahan api jet pada suku keempat selepas perang Iran menjejaskan bekalan Timur Tengah dan mengurangkan importnya.
- Benua itu meningkatkan pembelian dari Korea Selatan, Nigeria, Amerika Syarikat dan Kanada, dengan import Korea Selatan pada September mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2022.
- Stok di hab Amsterdam-Rotterdam-Antwerp jatuh ke paras terendah tujuh tahun, menjadikan Eropah lebih terdedah kepada gangguan ketika ketegangan Timur Tengah meningkat.
- Jurang harga Asia-Eropah menarik pedagang mengeksport ke Eropah, sementara pengeluaran Korea Selatan naik pada Julai susulan pemprosesan minyak mentah lebih tinggi.
Benua itu meningkatkan import bahan api jet dari negara-negara termasuk Nigeria, Amerika Syarikat dan Kanada sejak tercetusnya perang Iran lebih enam bulan lalu, yang menjejas bekalan dari Timur Tengah dan mengurangkan sekitar separuh import bahan api jet Eropah.
Eropah kekal sangat terdedah kepada risiko gangguan bekalan lanjut sedang ketegangan di Timur Tengah meningkat. Syarikat perunding Energy Aspects meramalkan Eropah akan mengalami kekurangan bahan api jet sebanyak 510,000 tong sehari pada suku keempat, berbanding lebihan 18,000 tong sehari di Amerika Syarikat dan 419,000 tong sehari di rantau Asia Pasifik. Trend pada suku ketiga sebahagian besarnya sama.
Korea Selatan pada September menjadi sumber utama terbaharu bagi penghantaran bahan api jet ke Eropah, menurut data eksport bahan api. Import bahan api dari negara Asia itu ke Eropah setakat September mencecah 129,000 tong sehari, paras tertinggi sejak Oktober 2022, menurut syarikat pengumpulan data komoditi Kpler. Data LSEG menunjukkan jumlah yang hampir sama.
Dengan Eropah dijangka terus mengalami kekurangan bahan api jet, import ke benua itu dijangka berterusan, kata James Noel-Beswick, ketua komoditi di syarikat pengumpulan data pasaran Sparta Commodities.
Bahan api jet merupakan antara bahan api sulingan pertengahan, yang turut merangkumi diesel dan gas. Harga diesel Eropah mencecah paras tertinggi dalam rekod minggu ini, lebih kukuh berbanding pasaran diesel Asia.
Jurang harga yang semakin melebar antara penanda aras Asia dan Eropah menjadikan eksport tong bahan api ke Eropah lebih menguntungkan, tambah Noel-Beswick.
STOK BAHAN API JET EROPAH SUSUT
Import dari Korea Selatan juga berlaku serentak ketika inventori berada pada tahap rendah, dengan stok yang disimpan secara bebas di hab penapisan dan penyimpanan minyak Amsterdam-Rotterdam-Antwerp (ARA) mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh tahun pada minggu berakhir 10 September.
Asia merupakan pembekal bahan api jet yang boleh berubah-ubah kepada Eropah dan pedagang biasanya beralih ke rantau itu apabila mereka mendapati urus niaga arbitraj — iaitu perbezaan harga relatif antara kedua-dua rantau — menguntungkan. Purata eksport bulanan pada 2025 ialah 1.5 juta tong, menurut data Kpler.
Pengeluaran bahan api jet Korea Selatan pada Julai mencecah paras tertinggi dalam tujuh tahun, iaitu hampir 13.89 juta tong, manakala eksport mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga setengah tahun, menurut data pemerintah.
Peningkatan kadar pemprosesan minyak mentah di loji penapisan menyumbang kepada kenaikan pengeluaran itu, dan pedagang menjangkakan pemprosesan minyak mentah pada Ogos lebih tinggi berbanding Julai. Data sementara pemerintah menunjukkan pemprosesan penapisan pada Julai sebanyak 2.7 juta tong sehari, meningkat 16 peratus berbanding Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.