Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Cadangan perjanjian Hormuz beri Iran kawalan pintu masuk kapal: Sumber

Cadangan perjanjian antara Iran dengan Oman akan memberi Tehran kawalan ke atas kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz, menurut seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau pada Rabu (5 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Cadangan perjanjian Hormuz beri Iran kawalan pintu masuk kapal: Sumber

Seorang lelaki memegang bendera Iran di Dataran Valiasr, Tehran, pada 16 Julai 2026. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 10:06PM
DUBAI: Cadangan perjanjian antara Iran dengan Oman akan memberi Tehran kawalan ke atas kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz, menurut seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau pada Rabu (5 Ogos).

Langkah itu merupakan antara konsesi terbesar kepada Iran setakat ini.

Namun, sumber-sumber Reuters menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz hampir dicapai.

Menurut mereka, beberapa perkara penting masih perlu dipersetujui.

"Konsesi sudah diberikan mengenai suatu bentuk kawalan ke atas Hormuz," kata seorang sumber serantau kepada Reuters.

Seorang lagi sumber berkata perincian mengenai maksud "kawalan" masih perlu ditentukan.

Para perunding dari negara-negara Teluk mahu negara serantau mengawasi pemeriksaan kapal dan sebarang bayaran dikenakan secara sukarela.

Sumber kanan Iran pula berkata teks perjanjian yang sedang dipertimbangkan menetapkan Iran akan mempunyai kawalan ke atas kapal yang menuju masuk ke Teluk menerusi Selat Hormuz.

Antara perkara utama yang masih belum dipersetujui ialah peranan Iran terhadap kapal yang bergerak keluar dari Teluk.

Washington belum memberi respons mengenai butiran cadangan perjanjian tersebut.

Pegawai Amerika sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa Washington tidak akan menerima sebarang aturan yang membolehkan Iran mengawal akses ke Selat Hormuz, laluan perdagangan paling penting dunia bagi bekalan tenaga.

IRAN MAHU KENAKAN BAYARAN

Menurut sumber kanan Iran, Tehran mahu mengenakan bayaran antara 5 hingga 7 peratus daripada nilai kargo kapal yang menggunakan Selat Hormuz.

Oman pula membincangkan kadar lebih rendah sekitar 3 peratus, manakala Washington tidak mahu sebarang bayaran dikenakan.

Cadangan supaya bayaran dibuat secara sukarela dilihat sebagai satu kemungkinan untuk mengatasi kebuntuan rundingan.

Iran dan Amerika tidak mengadakan rundingan secara langsung.

Sebaliknya, Iran sedang berunding dengan Oman, yang terletak di seberang Selat Hormuz.

Iran minggu lalu menolak cadangan awal Oman kerana menganggapnya tidak memberikan Tehran pengaruh yang mencukupi.

Encik Trump sekali lagi berkata Selat Hormuz akan dibuka semula "tidak lama lagi".

"Jika mereka menarik diri sekali lagi, mereka akan dibedil dengan sangat hebat," katanya.

Namun, sumber kanan Iran berkata masih terlalu awal untuk mengatakan perjanjian dengan Oman sudah dimuktamadkan.

"Rundingan diteruskan, tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan perjanjian dengan Oman sudah dimuktamadkan," katanya.

HARGA MINYAK MENINGKAT

Harga minyak meningkat pada Rabu (5 Ogos) selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman menyatakan ia menyerang sebuah kapal tangki berbendera Arab Saudi di Laut Merah.

Ia merupakan serangan terbaru terhadap laluan perkapalan di Timur Tengah yang menjejas bekalan tenaga global.

Pada Selasa (4 Ogos), sebuah kapal berbendera India karam dekat Yaman selepas terkena peluru.

Kesemua 14 anak kapal berjaya diselamatkan.

Pihak pemerintah Yaman yang berpangkalan di selatan negara itu menyalahkan kumpulan Houthi atas serangan tersebut.
Sumber : Reuters/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita