Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Bantuan kewangan AS$50 bilion diperlukan susuli tekanan ekonomi global

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Bantuan kewangan AS$50 bilion diperlukan susuli tekanan ekonomi global

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, dan Presiden Majlis Hubungan Luar, Michael Froman, berucap menjelang mesyuarat musim bunga IMF/Bank Dunia di Washington, DC, Amerika Syarikat. (Gambar: REUTERS)

KUALA LUMPUR: Ekonomi global kini diasak tekanan akibat krisis Timur Tengah yang berlarutan, yang berpotensi memerlukan bantuan kewangan sehingga AS$50 bilion (S$63.6 bilion) bagi membantu negara-negara rentan menangani kejutannya, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata perang itu juga mencetuskan kejutan bekalan yang ketara, bersifat global serta tidak sekata, sekali gus menjejas aliran tenaga, lonjakan harga dan tekanan ke atas rantaian bekalan di seluruh dunia.

Bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) terbukti terjejas secara meluas, yang hanya menyumbang kepada peningkatan inflasi serta ketidaktentuan ekonomi di peringkat global.

Beliau turut merujuk kepada Kompleks Ras Laffan di Qatar yang disifatkan sebagai “bukti amat penting” dari segi keberkesanan serta ketepatan pelaburan strategik sehingga mampu mengeluarkan 93 peratus LNG rantau Teluk dengan kira-kira 80 peratus daripadanya bagi destinasi Asia Pasifik - rantau yang kini mengalami kekurangan bahan api dengan serius.

“Ras Laffan secara asasnya telah ditutup sejak 2 Mac lalu dengan kesan langsungnya pada 19 Mac dan berkemungkinan memerlukan tempoh selama tiga tahun hingga lima tahun untuk kembali pulih sepenuhnya,” katanya di Washington pada Khamis (waktu tempatan).

Cik Georgieva berkata impak itu juga paling teruk dialami oleh kalangan negara pengimport minyak dan dengan kekangan kapasiti fiskal manakala negara pengeksport tenaga juga tidak terkecuali dari segi lonjakan kos serta gangguan ekonomi yang lebih meluas.

IMF turut menjangkakan pertumbuhan global akan lebih perlahan dalam semua senario walaupun situasi bertukar lebih baik berikutan kerosakan prasarana, gangguan bekalan serta keyakinan yang susut menjadi faktor utama merencatkan prospek berkaitan.

Bagi menangani krisis itu, IMF mengunjurkan permintaan bagi sokongan imbangan pembayaran yang berpotensi meningkat AS$20 bilion (S$25.4 bilion) hingga AS$50 bilion dalam masa terdekat dengan anggaran lebih rendah akan bergantung kepada sejauh mana gencatan senjata itu mampu bertahan.

“Dua perkara yang perlu diutamakan iaitu (pertama) angka julat berkenaan mungkin jauh lebih tinggi sekiranya kebanyakan ekonomi pesat membangun tidak melaksanakan dasar yang baik, termasuk beberapa daripadanya yang besar, sejak beberapa dekad lalu.

“Kedua, kita semua mempunyai sumber mencukupi bagi menangani kejutan ini,” katanya.

Cik Georgieva turut menasihatkan penggubal dasar untuk memberi tindak balas secara lebih berhati-hati, mengelak langkah atau pendekatan yang sebaliknya boleh memburukkan lagi keadaan global dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada golongan penduduk mudah terjejas dan mengekalkan kestabilan harga.

IMF juga menekankan kepentingan asas-asas ekonomi yang kukuh serta disiplin dasar dan negara-negara dengan ruang fiskal lebih besar dan daya tahan ketara, berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengurus kejutan berkenaan.

“Penggubal dasar boleh membantu dalam pelbagai cara dan pastinya, mereka juga perlu berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua negara agar menolak sebarang tindakan secara sendirian - kawalan eksport, kawalan harga dan sebagainya yang boleh menjejaskan lagi keadaan global,” katanya.

Di sebalik krisis itu, Cik Georgieva berkata masih wujud prospek lebih baik apabila ada negara yang bertindak meneliti semula hubungan dan melihat lebih banyak peluang baharu.

“Sebagai contoh, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Perdagangan dalam ASEAN adalah kira-kira 20 peratus. Sebagai perbandingan, perdagangan dalam Kesatuan Eropah (EU) adalah 60 peratus. Oleh itu, mengapakah negara-negara ini tidak meningkatkan lagi perdagangan antara satu sama lain?

“Inilah aspek yang perlu diteliti dan IMF mahu membantu mereka bukan sahaja untuk mewujudkan hubungan perdagangan lebih memberangsangkan, tetapi turut meneliti kekuatan secara kolektif yang boleh dimanfaatkan.

“Perkara sama juga membabitkan negara-negara Teluk yang sebenarnya sedang giat menyelaras usaha pembaharuan, meningkatkan keterhubungan sehinggalah perang ini menjejas mereka. Saya yakin, keadaan ini akan menjadi trend yang lebih lama di rantau Teluk itu.

“Bagi saya, sama juga seperti anda, kita mungkin perlu mewujudkan kelompok ‘optimis.’ Kita perlu menyedari bahawa dunia yang berubah ini adalah dunia sama dengan peluang yang sebelum ini tidak pernah difikirkan, kini semakin menyerlah dan bukan hanya cabaran. Ya, kita perlu menitikberatkan cabaran, tetapi pada masa yang sama jangan lepaskan peluang yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Mesyuarat Musim Bunga IMF yang akan datang, menumpukan usaha menyelaras reaksi atau tindakan bagi mengurangkan impak ekonomi serta menyokong usaha pemulihan dalam realiti ketidaktentuan masa kini.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita