Perang Amerika, Israel dan Iran: ASEAN timbang beli minyak dan gas Rusia meski terdapat risiko geopolitik
Pemandangan terminal minyak di pelabuhan Saint Petersburg pada 26 September 2025. (Gambar: AFP/Olga Maltseva)
This audio is generated by an AI tool.
Ukraine mengkritik keputusan Amerika Syarikat pada 17 April untuk melanjutkan tempoh pengecualian yang membenarkan Rusia menjual minyak meskipun terdapat sekatan Barat, dengan mengatakan bahawa hasil penjualan minyak akan membiayai perang Rusia.
Langkah Amerika Syarikat membenarkan pembelian minyak dan produk petroleum dari Rusia yang sudahpun dipunggah ke atas kapal di laut sehingga 16 Mei.
Amerika Syarikat berhujah bahawa pengecualian itu bertujuan untuk mengurangkan masalah bekalan tenaga yang dicetuskan oleh perang dengan Iran, yang bermula pada Februari, walaupun para penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa Washington mungkin masih memandang rendah terhadap negara-negara yang membeli minyak dan gas dari Rusia.
Pakar-pakar itu juga memberi amaran bahawa pergantungan berterusan kepada Rusia untuk mendapatkan bekalan tenaga berisiko meningkatkan pengaruh Mosko terhadap hubungan dua hala dan potensi berlaku ketegangan dengan negara-negara di Timur Tengah, yang telah diserang oleh Iran yang bersekutu dengan Rusia, dan yang juga mempunyai kontrak minyak mentah jangka panjang dengan beberapa negara Asia Tenggara.
“Negara-negara mesti memutuskan sama ada keuntungan jangka pendek (membeli tenaga Rusia) berbaloi dengan kesan jangka panjang,” kata Yohanes Sulaiman, pakar hubungan antarabangsa di Universiti Achmad Yani di Indonesia.
Negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), termasuk Filipina, Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Myanmar, telah menunjukkan minat untuk membeli minyak dan gas dari Rusia di tengah-tengah bekalan domestik yang semakin berkurangan.
Ini berlaku apabila Selat Hormuz yang ditutup oleh Iran mewujudkan kekurangan fizikal serta-merta di rantau ini yang bergantung kepada Teluk untuk lebih separuh daripada import minyak dan gas.
Akibatnya, negara-negara di Asia Tenggara beralih kepada sumber tenaga seterusnya yang dilihat sebagai dimampui dalam usaha untuk mendapatkan bekalan, kata para penganalisis.
"Dalam konteks ini, Rusia menawarkan jumlah kargo yang tersedia di laut, yang boleh dipunggah ke tempat yang memerlukannya," kata Abdelaziz Albogdady, pengurus penyelidikan pasaran dan strategi teknologi kewangan di firma perkhidmatan kewangan FXEM.
"Pada masa yang sama, pengecualian sementara Amerika Syarikat telah menjadikan aliran ini berdaya maju secara komersial walaupun terdapat sekatan."
Encik Albogdady bagaimanapun memberi amaran bahawa dari semasa ke semasa, pergantungan kepada pembekal "sensitif geopolitik" seperti Rusia boleh mewujudkan kelemahan dan pergeseran dengan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
"Selain itu, pergantungan kepada minyak Rusia juga meningkatkan pendedahan kepada gangguan memandangkan infrastruktur tenaga Rusia kerap mengalami kerosakan," katanya lagi.
Selain kebimbangan geopolitik, persoalan lain ialah sama ada Rusia mempunyai bekalan minyak yang mencukupi untuk digunakan oleh negara-negara ASEAN.
Ukraine telah melancarkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Rusia di Laut Hitam dan Laut Baltik, menjejas keupayaannya untuk meningkatkan eksport, kata Muyu Xu, penganalisis minyak mentah kanan di firma data perdagangan global Kpler.
Xu memberitahu Mediacorp bahawa ini telah menyebabkan eksport Rusia merosot "sedikit".
"Ukraine tidak berpuas hati dengan pengecualian sekatan Amerika Syarikat, jadi mereka telah meningkatkan serangan dron ke atas infrastruktur Rusia," katanya lagi.
"Walaupun sekarang pasaran sangat baik - (Rusia) boleh menjual minyak mereka pada harga yang lebih tinggi, dan lebih banyak negara sanggup membelinya - kapasiti sebenar Rusia menjadi satu isu yang mencetuskan keprihatinan."
MAMPUKAH RUSIA MENGEKSPORT MINYAK YANG MENCUKUPI?
Langkah terbaharu ini menggantikan pengecualian 30 hari yang tamat tempoh pada 11 April dan tidak termasuk transaksi yang melibatkan Iran, Cuba dan Korea Utara.
Ia diumumkan selepas negara-negara di Asia mendesak Washington supaya membenarkan bekalan alternatif sampai ke pasaran, walaupun Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent berkata beberapa hari sebelum itu bahawa pengecualian untuk minyak Rusia tidak akan diperbaharui, lapor Reuters pada 18 April.
Utusan Khas Presiden Rusia Vladimir Putin, Kirill Dmitriev berkata lanjutan kepada tempoh pengecualian Amerika Syarikat akan meliputi lagi 100 juta tong minyak Rusia, menjadikan jumlah keseluruhan yang dilindungi oleh kedua-dua tempoh pengecualian kepada sebanyak 200 juta tong.
Tetapi data Kpler menunjukkan bahawa sejak Mac, Filipina adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengimport kargo minyak dari Rusia, menurut Xu.
Pada 14 April, Manila menyatakan bahawa ia sedang meminta kebenaran Amerika Syarikat untuk membeli lebih banyak minyak mentah dari Rusia. Negara yang bergantung kepada import itu memperoleh hampir 2.5 juta tong pada Mac lalu daripada Rusia untuk satu-satunya kilang penapisan minyaknya selepas melihat sekurang-kurangnya empat juta tong penghantaran dari Timur Tengah dibatalkan sejak bermulanya perang Amerika-Israel ke atas Iran.
Walaupun Xu menyatakan bahawa negara-negara ASEAN lain sedang berunding tentang pembelian minyak dari Rusia, beliau mempersoalkan berapa banyak kargo yang sebenarnya boleh mereka peroleh.
"Kerana sekarang, terutamanya kargo minyak itu diambil oleh India dan China, jadi ketersediaannya menjadi satu isu," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.