Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Asap tebal kelihatan dekat lapangan terbang Riyadh selepas bunyi dentuman kedengaran

Kepulan asap tebal kelihatan berhampiran lapangan terbang utama Riyadh pada Sabtu (19 Sep), selepas bunyi dentuman kedengaran dan pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan ancaman di sekitar ibu kota itu. Kejadian berlaku sedang serangan Houthi dari Yaman semakin memuncak.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Asap tebal kelihatan dekat lapangan terbang Riyadh selepas bunyi dentuman kedengaran

Asap kelihatan dari depot simpanan bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid susulan serangan Houthi di Riyadh, Arab Saudi, pada 19 Sep 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 09:00PM
  • Kepulan asap tebal dan bunyi dentuman dilaporkan berhampiran lapangan terbang utama Riyadh pada Sabtu, ketika Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran ancaman sebelum memaklumkan keadaan selamat.
  • Pejabat media pemerintah Arab Saudi belum mengulas, manakala Reuters merakam asap hitam berhampiran kemudahan lapangan terbang dan wartawannya mendengar dentuman di kawasan Olaya.
  • Insiden berlaku ketika Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi sejak Julai, termasuk selepas mengisytiharkan sekatan laut dan menyasarkan kapal Saudi di Laut Merah.
  • Ketegangan itu menimbulkan risiko kepada bekalan minyak global, sementara Yahya Saree menyalahkan Arab Saudi atas tindakan di Sanaa dan Majlis Keselamatan PBB mengutuk serangan Houthi.
Dijana oleh AI
RIYADH: Kepulan asap tebal kelihatan berhampiran lapangan terbang utama Riyadh pada Sabtu (19 Sep), selepas bunyi dentuman kedengaran dan pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan ancaman di sekitar ibu kota itu. Kejadian berlaku sedang serangan Houthi dari Yaman semakin memuncak.

Rakaman Reuters menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang berhampiran lapangan terbang, dengan lebuh raya, bangunan terminal utama dan kemudahan lain kelihatan di kawasan tersebut.

Pejabat media pemerintah Arab Saudi belum memberikan sebarang komen ketika ditanya Reuters mengenai kepulan asap dan amaran yang dikeluarkan semalaman.

Pertahanan Awam Arab Saudi menghantar amaran menerusi telefon mengenai kemungkinan ancaman di Riyadh dan bandar Al-Kharj, di timur ibu kota, sebelum memaklumkan keadaan kembali selamat pada pagi Sabtu.

Seorang wartawan Reuters di kawasan Olaya, Riyadh, turut mendengar bunyi dentuman sebelum makluman keadaan selamat dikeluarkan.

Meskipun beberapa amaran pernah dikeluarkan di Riyadh tahun ini selepas tercetusnya perang Amerika Syarikat-Iran, ini merupakan kali pertama amaran sedemikian dikeluarkan sejak ketegangan dengan Houthi memuncak pada Julai.

Houthi, yang menguasai kawasan paling padat penduduk di Yaman serta sebahagian besar wilayah utara negara itu, melancarkan serangan ke arah Arab Saudi sejak mengisytiharkan sekatan laut terhadap Riyadh pada Julai. Serangan itu turut menyasarkan kapal Arab Saudi di Laut Merah.

Serangan tersebut menimbulkan ancaman baharu terhadap bekalan minyak global dengan menjejas laluan alternatif utama di Laut Merah bagi eksport negara-negara Teluk, sedang laluan melalui Selat Hormuz masih disekat.

Pada Jumaat (18 Sep), jurucakap tentera Houthi Yahya Saree berkata kumpulan itu berjaya menghalang beberapa "percubaan jenayah" yang tidak diperincikan di Sanaa, ibu kota Yaman. Beliau menyalahkan Arab Saudi atas tindakan itu dan berikrar untuk bertindak balas.

Kumpulan yang disokong Iran itu menguasai seluruh pesisir Laut Merah Yaman menerusi kemaraan pantas bulan ini. Houthi mendakwa Tentera Udara Arab Saudi melancarkan ratusan serangan udara terhadap kumpulan itu sejak beberapa hari lalu.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) "mengutuk sekeras-kerasnya" serangan berterusan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk serangan yang menjejas prasarana awam dan tenaga sehingga mencederakan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Majlis Keselamatan PBB turut mengutuk peningkatan tindakan ketenteraan Houthi di Yaman.
Sumber : Reuters/NU/nu
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita