Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika timbang hentikan perang Iran setelah Tehran lancarkan peluru berpandu jarak jauh

Anggaran Waktu Membaca:
DUBAI: Israel menyatakan pada Sabtu (21 Mac) bahawa tentera Iran buat pertama kali melepaskan peluru berpandu jarak jauh, meningkatkan risiko serangan melangkau Timur Tengah, walaupun setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Washington menimbangkan untuk "mengurangkan" operasi tentera terhadap Iran.

Iran melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak 4,000 kilometer ke arah pangkalan tentera Diego Garcia di Lautan Hindi, kata ketua tentera Israel Eyal Zamir.

"Peluru berpandu itu bukan bertujuan untuk menyerang Israel. Jangkauannya mencapai ibu kota Eropah - Berlin, Paris dan Rom semuanya berada dalam lingkungan ancaman langsung," kata Encik Zamir dalam satu kenyataan.

Tentera Israel menyatakan ia merupakan "kali pertama" Iran menggunakan peluru berpandu jarak jauh dalam konflik tersebut, menandakan perluasan pertamanya melangkaui Timur Tengah sejak Amerika Syarikat dan Israel mula menyerang Iran pada 28 Feb.

Satu sumber di kementerian pertahanan Britain menyatakan serang itu berlaku sebelum pemerintah memberikan sebarang kebenaran khusus pada Jumaat untuk Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tentera Britain bagi melaksanakan serangan terhadap tapak-tapak peluru berpandu Iran.

Dalam satu catatan media sosial, Encik Trump berkata Amerika Syarikat semakin hampir mencapai matlamatnya tetapi menegaskan bahawa negara lain harus memimpin dalam mengawal Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan yang hampir ditutup dan mengancam kejutan tenaga global.

"Kami semakin hampir memenuhi matlamat kita sedang kita menimbangkan untuk mengurangkan usaha ketenteraan kita di Timur Tengah berkenaan Rejim Pengganas Iran," kata Encik Trump di platform Truth Social.

"Selat Hormuz akan dijaga dan dikawal polis, sewajarnya, oleh negara lain yang menggunakannya - Amerika Syarikat tidak!" katanya.

"Jika diminta, kita akan membantu negara-negara ini dalam usaha Hormuz, tetapi ia tidak perlu sebaik sahaja ancaman Iran dihapuskan."

Encik Trump dan pentadbirannya memberikan mesej bercampur-campur mengenai matlamat Amerika sepanjang perang itu yang kini masuk minggu keempat, menyebabkan sekutu-sekutu Amerika menghadapi kesukaran bertindak balas.

Trump mencadangkan perang boleh berakhir kerana ancaman Iran sedang dihapuskan, sementara pada masa yang sama anggota tentera marin Amerika dan kapal pendaratan berat pula menuju ke rantau itu.

Lebih 2,000 orang terbunuh di Iran sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari, manakala pengundi Amerika semakin prihatin bahawa perang itu mungkin bertambah meluas.

Kejutan harga tenaga mendorong inflasi, menjejas pengguna dan perniagaan secara ketara - satu liabiliti politik utama bagi Encik Trump sedang beliau berusaha mewajarkan perang itu kepada rakyat Amerika sebelum pilihan raya November di mana beliau berisiko hilang kawalan terhadap Kongres.

Encik Trump juga menuduh sekutu-sekutu NATO "pengecut" atas keengganan mereka membantu buka semula selat itu.

Sesetengah sekutu menyatakan mereka akan menimbangkannya, namun kebanyakan berkata mereka keberatan menyertai perang yang dimulakan oleh Encik Trump tanpa berunding terlebih dahulu.
Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita