Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika tarik balik kepungan terhadap Iran

Amerika Syarikat pada Khamis (18 Jun) menarik balik kepungannya terhadap Iran, membolehkan kapal-kapal tangki minyak mula bergerak bebas melayari Selat Hormuz setelah berbulan-bulan tidak dapat menggunakan laluan penting itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika tarik balik kepungan terhadap Iran

Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, anak lelaki kedua kepada mantan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei menghadiri mesyuarat di Tehran, Iran pada 13 Okt 2024. (Gambar: Reuters/Hamed Jafarnejad)

Diterbitkan : 19 Jun 2026 07:19AM Dikemas Kini : 19 Jun 2026 07:36AM
  • Amerika Syarikat menarik balik kepungan terhadap Iran pada 18 Jun, membenarkan kapal tangki minyak Iran melayari Selat Hormuz selepas perjanjian menamatkan perang.
  • Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance mungkin menangguhkan lawatan ke Switzerland yang dijadualkan untuk majlis pemeteraian perjanjian tersebut.
  • Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, menyokong rundingan langsung dengan Amerika Syarikat tetapi menegaskan hak Iran mesti dilindungi.
  • Kenyataan Khamenei menekankan rundingan masa depan tidak bermakna menerima pandangan musuh dan beliau hanya bersetuju selepas menerima jaminan daripada Presiden Iran.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Khamis (18 Jun) menarik balik kepungannya terhadap Iran, membolehkan kapal-kapal tangki minyak mula bergerak bebas melayari Selat Hormuz setelah berbulan-bulan tidak dapat menggunakan laluan penting itu.

Ini berlaku selepas satu perjanjian untuk menamatkan perang berkuat kuasa.

Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance mengumumkan bahawa beliau mungkin menangguhkan lawatan ke Switzerland yang dijadual pada Jumaat dan juga termasuk majlis pemeteraian perjanjian itu.

Lawatan itu mungkin membantu memulakan perbincangan mengenai pusingan rundingan seterusnya yang dijangka lebih kritikal, antara kedua-dua pihak.

Selang beberapa jam kemudian, Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Mojtaba Khamenei menyokong rundingan langsung bersama Amerika Syarikat dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh media tempatan.

Ia adalah reaksi pertama Encik Khamenei terhadap perjanjian tersebut.

"Secara prinsip, saya mempunyai pandangan berbeza (mengenai memorandum persefahaman itu), tetapi saya memberikan keizinan saya disebabkan oleh komitmen yang presiden (Iran), serta pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, berikan kepada diri saya bagi pihak dirinya dan ahli lain untuk melindungi hak negara Iran dan Barisan Penentangan," kata Encik Khamenei dalam mesej yang dibacakan di televisyen tempatan.

Encik Khamenei tidak kelihatan di khalayak ramai sejak beliau mula berkhidmat pada Mac lalu menyusuli pembunuhan bapanya yang juga pemimpin tertinggi Iran sebelum ini, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan perang serantau itu.

Encik Khamenei berkata Encik Trump menggunakan "pelbagai helah" untuk mendapatkan perjanjian "kerana terdesak".

Dalam mesejnya, Encik Khamenei berkata beliau menerima jaminan dari Encik Pezeshkian berhubung perjanjian itu dan ia tidak akan diterima "jika pihak Amerika mahu membuat permintaan berlebihan".

"Jelas bahawa rundingan secara bersemuka yang akan diadakan di masa hadapan tidak bermakna menerima pandangan musuh," katanya.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita