Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika serang menara komunikasi, kem tentera Iran

Sebuah menara komunikasi di wilayah Kerman, Iran menjadi sasaran pada Ahad dalam gelombang terbaharu serangan Amerika Syarikat ke atas negara itu, kata pegawai Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika serang menara komunikasi, kem tentera Iran

Tindakan itu adalah sebahagian daripada gelombang ketiga serangan AS yang menyasarkan tapak radar, peluru berpandu dan dron di seluruh selatan Iran. (Gambar fail: X CENTCOM)

Diterbitkan : 12 Jul 2026 07:29PM Dikemas Kini : 12 Jul 2026 07:30PM
ISTANBUL: Sebuah menara komunikasi di wilayah Kerman, Iran menjadi sasaran pada Ahad dalam gelombang terbaharu serangan Amerika Syarikat ke atas negara itu, kata pegawai Iran.

Menara berkenaan terletak di tanah tinggi selatan wilayah itu, lapor laman web berita Iran Entekhab, memetik pegawai tempatan.

Saeed Pourali, timbalan gabenor bagi hal ehwal politik, keselamatan dan sosial di wilayah Lorestan, berkata tentera Amerika melakukan dua serangan udara semalaman di pinggir Veysian, menurut penyiar negeri IRIB.

Encik Pourali berkata tiada kemalangan jiwa dan keadaan kembali normal.

Sebuah pangkalan tentera di bandar barat Khondab turut dilanda apa yang disifatkan oleh agensi berita negara IRNA sebagai "peluru musuh," memetik seorang pegawai kanan tempatan.

Kejadian itu berlaku pagi Ahad dan pihak berkuasa sedang menilai mangsa dan kerosakan, kata pegawai berkenaan.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada gelombang ketiga serangan Amerika yang menyasarkan tapak radar, peluru berpandu dan dron di seluruh selatan Iran.

Serangan itu menyusuli dakwaan tembakan Iran ke atas kapal komersial di Selat Hormuz dan pengumuman Tehran bahawa ia menutup laluan air strategik tersebut sehingga diberitahu kelak.

Markas Pusat Amerika Syarikat berkata seorang anak kapal terbabit hilang.

Iran pula menyatakan ia melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika di Bahrain, Kuwait, Qatar, Jordan dan Oman.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita