Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika serang Iran sebagai tindak balas serangan dron ke atas kapal di Selat Hormuz

Amerika Syarikat menyerang Iran pada Jumaat (26 Jun) sebagai tindak balas kepada serangan dron yang berlaku sehari sebelumnya ke atas sebuah kapal kargo di Selat Hormuz.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika serang Iran sebagai tindak balas serangan dron ke atas kapal di Selat Hormuz

Kapal-kapal di Selat Hormuz, seperti dilihat dari Musandam, Oman pada 24 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Stringer)

Diterbitkan : 27 Jun 2026 07:05AM Dikemas Kini : 27 Jun 2026 07:07AM
  • Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran pada 26 Jun sebagai tindak balas terhadap serangan dron ke atas kapal kargo di Selat Hormuz sehari sebelumnya.
  • Serangan ini berlaku selepas perjanjian sementara gencatan senjata antara kedua-dua negara yang bertujuan menamatkan perang dan membuka semula laluan air strategik.
  • Presiden Donald Trump menyatakan serangan dron Iran melanggar gencatan senjata, manakala Ebrahim Azizi dari Iran menegaskan Selat Hormuz di bawah kawalan negaranya.
  • Markas Pusat Amerika Syarikat menyasarkan tapak peluru berpandu dan dron di Iran, dengan pegawai Amerika mengesahkan operasi masih berterusan.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Amerika Syarikat menyerang Iran pada Jumaat (26 Jun) sebagai tindak balas kepada serangan dron yang berlaku sehari sebelumnya ke atas sebuah kapal kargo di Selat Hormuz.

Ia merupakan ujian paling ketara terhadap satu perjanjian sementara yang dimeterai pada minggu lalu antara kedua-dua negara untuk mula berusaha menamatkan perang yang sudah berlarutan selama beberapa bulan dan membuka semula laluan air penting itu.

Presiden Amerika Donald Trump berkata serangan dron tersebut melanggar gencatan senjata itu.

Serangan itu berlaku tidak lama selepas Encik Trump berkata kepada wartawan, "Anda akan ketahuinya," berhubung sama ada Amerika Syarikat akan bertindak balas.

Markas Pusat Amerika Syarikat dan pihak tentera menyerang lokasi peluru berpandu dan dron di tapak-tapak radar pantai di Iran.

"Saya tidak begitu senang kerana mereka melancarkan serangan semalam, sebenarnya sebanyak empat kali," kata Encik Trump di Rumah Putih tidak lama sebelum Amerika Syarikat menyerang kembali.

Apabila ditanya mengapa berlaku serangan sedangkan Encik Trump menegaskan rundingan bersama Tehran sedang berjalan lancar, Encik Trump berkata mengenai Iran: "Mereka berbeza sedikit."

Beliau kemudian berhenti menjawab soalan dan para wartawan dibawa keluar dari pejabatnya.

Ebrahim Azizi yang memimpin suruhanjaya keselamatan negara parlimen Iran, membalas Encik Trump di media sosial pada Jumaat sambil berkata: "Selat Hormuz ditadbir oleh Iran, jadi: hormat peraturan" dan "jangan fikir kawalan itu satu peningkatan."

"Ini bukan pelanggaran gencatan senjata; ia pengurusan gencatan senjata," kata Encik Azizi.

Serangan terhadap Iran masih berterusan walaupun setelah Markas Pusat Amerika menerbitkan kenyataan yang mengesahkan tindakannya, kata seorang pegawai Amerika yang maklum mengenai situasi itu kepada The Associated Press.

Pegawai itu setuju ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan bagi membincangkan operasi tentera yang sedang djialankan.
Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita