Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika selesai jalankan operasi tentera terhadap Iran, dedah Rubio

Amerika Syarikat sudah pun selesai menjalankan operasi tentera terhadap Iran, kata Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio pada Selasa (5 Mei), sekali gus mengesahkan kenyataan Kongres hampir sebulan selepas gencatan senjata rapuh dilaksanakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika selesai jalankan operasi tentera terhadap Iran, dedah Rubio

Setiausaha Negara Marco Rubio berucap semasa majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman di Jabatan Negara pada 24 April 2026 di Washington. (Gambar: AP/Rod Lamkey)

Diterbitkan : 06 May 2026 07:05AM Dikemas Kini : 06 May 2026 07:06AM
WASHINGTON: Amerika Syarikat sudah pun selesai menjalankan operasi tentera terhadap Iran, kata Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio pada Selasa (5 Mei), sekali gus mengesahkan kenyataan Kongres hampir sebulan selepas gencatan senjata rapuh dilaksanakan.

"Operasi sudah berakhir - Epic Fury - seperti yang dimaklumkan oleh Presiden kepada Kongres. Kami sudah selesai menjalankan bahagian itu," kata Encik Rubio kepada wartawan di Rumah Putih.

Sebelum ini, Rumah Putih memaklumkan para penggubal undang-undang perang tersebut sudah berakhir disebabkan oleh gencatan senjata tersebut, sekali gus mengelakkan syarat undang-undang yang memerlukan Kongres memberi kelulusan kepada konflik yang menjangkaui 60 hari.

Encik Trump turut mengancam Iran dengan tindak balas besar-besaran jika ia menyerang kapal-kapal Amerika dan pada Ahad (3 Mei) mengumumkan 'Project Freedom' untuk bantu mengiringi kapal-kapal keluar dari Selat Hormuz, iaitu laluan sempit ke Teluk di mana Iran menguasai kawalannya sebagai respons kepada serangan ke atasnya.

"Ini bukan operasi tentera, ia satu operasi pertahanan," kata Encik Rubio.

"Dan maksudnya adalah sangat mudah - tiada tembakan melainkan kita diserang dahulu."

Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran pada 28 Februari lalu, membunuh para pemimpin kanan dan menghapuskan tapak-tapak tentera dan ekonomi utama tetapi tidak memaksa keruntuhan republik Islamik itu, yang bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau tersebut.

Pada 8 April, Encik Trump mengisytiharkan gencatan senjata bersama Iran yang sudah pun dilanjutkan walaupun rundingan bersama Tehran menemui kebuntuan.

Encik Rubio berkata Amerika Syarikat sudah "mencapai matlamat" peperangan itu.

"Mereka sedang berdepan, mereka menghadapi kemusnahan sebenar, bencana kepada ekonomi mereka," katanya, sambil menambah Encik Trump lebih terbuka mempunyai perjanjian dirundingkan bersama Iran.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita