Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika pertimbang sekatan terhadap syarikat penerbangan, aset digital kaitkan Iran

Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan syarikat penerbangan, industri perkapalan dan aset digital sebagai antara sasaran sekatan selanjutnya sedang pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan usaha untuk meningkatkan tekanan terhadap ekonomi Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika pertimbang sekatan terhadap syarikat penerbangan, aset digital kaitkan Iran

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent semasa sidang media untuk membentangkan sekatan selanjutnya terhadap Iran di Jabatan Perbendaharaan di Washington DC pada 24 Ogos 2026. (Gambar fail: REUTERS/Evelyn Hockstein)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 08:58PM
WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan syarikat penerbangan, industri perkapalan dan aset digital sebagai antara sasaran sekatan selanjutnya sedang pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan usaha untuk meningkatkan tekanan terhadap ekonomi Iran.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent berkata demikian pada Rabu (2 Sep) ketika ditanya mengenai sokongan Rusia terhadap Iran dalam wawancara bersama Fox News, menyusuli pertemuan G20 di North Carolina minggu ini.

Encik Bessent turut memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memberikan sokongan kepada Tehran.

"Mesej saya kepada semua pihak adalah supaya menjauhkan diri. Kita semua mahu ketegangan ini berakhir dan cara paling pantas untuk menamatkannya adalah dengan memastikan tiada pihak memberikan sebarang sokongan kepada rejim ini," kata Encik Bessent.

Kenyataan Encik Bessent itu menyusuli sokongan yang diberikan Presiden Rusia Vladimir Putin kepada Iran sehari sebelumnya.

Encik Bessent menambah bahawa Amerika sedang mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pihak-pihak yang menyokong rejim Iran.

SEKATAN TAMBAHAN TERHADAP IRAN

Pada Selasa (1 Sep), Encik Bessent berkata pentadbiran Encik Trump juga mungkin menyasarkan syarikat pajakan pesawat.

Beliau turut memberikan bayangan bahawa lebih banyak sekatan terhadap bank Iran mungkin diumumkan minggu ini.

Encik Bessent sebelum ini berkata Amerika berkemungkinan mengumumkan sekatan sekunder baharu setiap minggu bagi meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran, dengan tumpuan awal terhadap institusi perbankan.

Beliau juga berkata Washington mungkin mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menjalankan urusan perniagaan dengan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), selain menjejaki aset kumpulan tersebut.

Amerika sebelum ini menyatakan matlamatnya adalah untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran dengan menyasarkan rangkaian kewangan dan pihak-pihak yang terus menyokong Iran.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita