Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika masih tunggu respons Iran terhadap saranan terbaharu

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika masih tunggu respons Iran terhadap saranan terbaharu

Seorang wanita berjalan melepasi papan iklan anti-Amerika yang menggambarkan Presiden Donald Trump dan Selat Hormuz, di Tehran, Iran, pada 8 Mei 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) menerusi REUTERS)

WASHINGTON: Keadaan yang agak tenang menyelubungi Selat Hormuz pada Sabtu (9 Mei), selepas beberapa hari berlaku ketegangan, sedang Amerika Syarikat menunggu respons Iran terhadap cadangan terbaharunya untuk menamatkan lebih dua bulan pertempuran dan memulakan rundingan damai.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, berkata pada Jumaat (8 Mei) bahawa Washington menjangkakan jawapan dalam tempoh beberapa jam.

Namun sehari kemudian, tiada respons dari Tehran terhadap cadangan tersebut, yang bertujuan untuk menamatkan perang secara rasmi sebelum rundingan diadakan mengenai isu-isu lebih sensitif, termasuk program nuklear Iran.

Encik Rubio dan utusan Rumah Putih, Steve Witkoff, bertemu Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, di Miami pada Sabtu (9 Mei) untuk mengusahakan perjanjian bagi menamatkan perang, lapor Axios dengan memetik dua sumber. Qatar juga membantu menjadi perantara antara kedua-dua pihak.

Sebuah kapal tangki gas asli cecair (LNG) Qatar sedang belayar menuju ke selat tersebut pada Sabtu (9 Mei) dalam perjalanan ke Pakistan, menurut data perkapalan LSEG, dalam langkah yang menurut sumber, diluluskan oleh Iran untuk membina keyakinan dengan Qatar dan Pakistan, yang juga menjadi perantara dalam perang itu.

Jika berjaya, ia akan menjadi transit pertama kapal LNG Qatar melalui selat itu sejak perang bermula.

Dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijadual memulakan lawatan yang dinanti-nantikan ke China minggu depan, tekanan semakin meningkat untuk menamatkan perang ini, yang menggoncang pasaran tenaga dan menimbulkan ancaman terhadap ekonomi global.

Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan peningkatan pertempuran terbesar di dalam dan sekitar Selat Hormuz sejak gencatan senjata dikuatkuasakan sebulan lalu, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi menjadi sasaran serangan Iran pada Jumaat (8 Mei).

PERTEMPURAN UJI GENCATAN SENJATA

Pada Jumaat (8 Mei), berlaku pertempuran antara tentera Iran dengan kapal tentera Amerika Syarikat di selat itu, lapor agensi berita separa rasmi Iran, Fars. Agensi berita Tasnim kemudian memetik sumber tentera Iran yang berkata keadaan kembali tenang tetapi memberi amaran bahawa pertempuran lanjut mungkin berlaku.

Tentera Amerika Syarikat menyatakan ia sudah menyerang dua kapal yang dikaitkan dengan Iran yang cuba memasuki sebuah pelabuhan di Iran, dengan kehadiran jet pejuang Amerika Syarikat memaksa mereka berpatah balik.

Tehran sebahagian besarnya menyekat kapal-kapal bukan milik Iran daripada melalui selat itu sejak perang bermula dengan serangan udara Amerika Syarikat-Israel ke atas seluruh Iran pada 28 Februari. Sebelum perang, seperlima bekalan minyak dunia melalui laluan sempit tersebut.

Amerika Syarikat mengenakan kepungan terhadap kapal-kapal Iran pada bulan lalu. Namun penilaian CIA menunjukkan Iran tidak akan mengalami tekanan ekonomi yang teruk akibat kepungan Amerika Syarikat selama kira-kira empat bulan, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat yang mengetahui perkara tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Presiden Donald Trump terhadap Tehran dalam perang yang tidak disokong pengundi dan sekutu Amerika Syarikat.

Seorang pegawai kanan perisikan menyifatkan “dakwaan” mengenai analisis CIA itu sebagai tidak benar, yang pertama kali dilaporkan oleh Washington Post.

Pertempuran turut melangkaui laluan air tersebut. UAE menyatakan sistem pertahanan udaranya memintas dua peluru berpandu balistik dan tiga dron dari Iran pada Jumaat (8 Mei), dengan tiga orang mengalami kecederaan sederhana.

Iran berulang kali menyasarkan UAE dan negara-negara Teluk lain yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Iran meningkatkan serangan minggu ini sebagai tindak balas terhadap pengumuman Encik Trump mengenai “Project Freedom” untuk mengiringi kapal-kapal di selat tersebut, yang dihentikan selepas 48 jam.

Encik Trump berkata pada Khamis lalu bahawa gencatan senjata yang diumumkan pada 7 April masih berkuat kuasa walaupun berlaku ketegangan, manakala Iran pula menuduh Amerika Syarikat melanggarnya.

AMERIKA TERUSKAN DIPLOMASI, PERLUAS SEKATAN

Amerika Syarikat kurang mendapat sokongan antarabangsa dalam perang ini. Selepas bertemu Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, Encik Rubio mempersoalkan mengapa Itali dan sekutu-sekutu lain tidak menyokong usaha Washington untuk membuka semula selat tersebut, sambil memberi amaran tentang duluan berbahaya jika Tehran dibenarkan mengawal laluan air antarabangsa.

Bercakap di Stockholm, Canselor Jerman Friedrich Merz berkata negara-negara Eropah berkongsi matlamat untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear dan sedang berusaha merapatkan perbezaan dengan Washington.

Britain, yang bekerjasama dengan Perancis dalam cadangan untuk memastikan laluan selamat melalui selat itu apabila keadaan stabil, berkata pada Sabtu ia akan menghantar kapal perang ke Timur Tengah sebagai persediaan bagi misi berbilang negara itu.

Sambil meneruskan usaha diplomatik, Amerika Syarikat juga meningkatkan sekatan untuk memberi tekanan kepada Iran.

Beberapa hari sebelum Encik Trump ke China untuk bertemu Presiden Xi Jinping, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat pada Jumaat mengumumkan sekatan terhadap 10 individu dan syarikat, termasuk beberapa di China dan Hong Kong, kerana membantu usaha tentera Iran mendapatkan senjata dan bahan mentah untuk menghasilkan dron Shahed milik Tehran.

Jabatan Perbendaharaan menyatakan dalam kenyataannya bahawa ia bersedia bertindak terhadap mana-mana syarikat asing yang menyokong perdagangan haram dengan Iran dan akan mengenakan sekatan peringkat kedua terhadap institusi kewangan asing termasuk yang berkaitan dengan loji penapisan minyak bebas China.
 
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita