Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika lancarkan serangan terbaharu selepas Iran isytiharkan penutupan Selat Hormuz
Tiga kanak-kanak lelaki bermain di kawasan perairan cetek Selat Hormuz, sedang kepulan asap daripada letupan dilihat berhampiran Bandar Abbas, Iran, pada 13 Julai 2026. (Gambar: ISNA menerusi AP/Razieh Poudat)
Ini meskipun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata perjanjian dengan Tehran masih boleh dicapai.
"Kami akan menyerang mereka dengan sangat kuat malam ini dan esok," kata Trump kepada hos radio konservatif Hugh Hewitt pada Isnin (13 Jul).
Harga minyak melonjak lebih sembilan peratus menyusuli kebimbangan konflik yang semakin memuncak.
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan, serangan bermula pada 8.45 malam GMT, (4.45 pagi waktu Singapura) menjadikannya malam ketiga berturut-turut operasi ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Menurut CENTCOM, sasaran termasuk beberapa lokasi ketenteraan di Bushehr, Chah Bahar, Jask, Konarak, Abu Musa dan Bandar Abbas.
Washington menyatakan, serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran menyerang orang awam dan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Sebagai tindak balas, Pengawal Revolusi Iran menyatakan, mereka melancarkan peluru-peluru berpandu dan dron-dron ke arah Bahrain, termasuk menyasarkan sebuah bangunan kediaman yang menempatkan para anggota tentera Amerika Syarikat.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut mendakwa, Iran menyerang dua kapalnya di Selat Hormuz, mengorbankan seorang anak kapal manakala lagi lapan cedera.
KONGRES DIMAKLUMKAN
Presiden Trump minggu lalu juga memaklumkan Kongres bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran disambung semula, sekali gus memberi Pentagon tempoh tambahan 60 hari untuk beroperasi tanpa kelulusan Kongres.
Beliau juga mengisytiharkan, Amerika Syarikat akan dikenali sebagai 'penjaga Selat Hormuz' dan mengenakan bayaran sebanyak 20 peratus ke atas semua kargo yang menggunakan laluan air tersebut.
Presiden Trump menegaskan, negara-negara lain masih boleh menggunakan laluan itu secara bebas.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi bagaimanapun menyindir cadangan itu dan berkata, jika pihak yang menjamin keselamatan laluan perlu dibayar, Iran akan mengenakan kadar yang jauh lebih rendah.
Para penganalisis memberi amaran, langkah tersebut boleh menyebabkan harga minyak dunia melonjak, sekali gus menjejas ekonomi global.
Sekitar 80 peratus minyak mentah yang melalui Selat Hormuz dihantar ke Asia, dengan China antara pengimport utama minyak Iran.
Bagaimanapun, beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada Washington mempunyai keupayaan untuk menguatkuasakan bayaran tersebut di antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Walaupun konflik semakin memuncak, Encik Trump berkata perjanjian dengan Iran masih boleh dicapai.
Namun, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata, memorandum persefahaman yang menjadi asas rundingan kini 'berada dalam krisis', meskipun Tehran masih meneruskan rundingan menerusi pengantara dari Qatar, Pakistan dan Oman.
Sementara itu, media Iran melaporkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh sejak pertempuran kembali tercetus minggu lalu.
Iran turut memberi amaran bahawa sebarang kerjasama negara-negara Teluk dengan Amerika Syarikat akan dianggap sebagai 'tindakan perang'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.