Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika lancar serangan baharu terhadap Iran, tuduh Tehran serang kapal komersial di Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika lancar serangan baharu terhadap Iran, tuduh Tehran serang kapal komersial di Selat Hormuz

Kapal-kapal dagang kelihatan belayar di Selat Hormuz berhampiran Bandar Abbas, Iran, pada 30 Jun 2026. (Gambar: AP/Amirhosein Khorgooi)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 07:07AM
DUBAI: Tentera Amerika Syarikat melancarkan beberapa siri serangan terhadap Iran pada awal Rabu (8 Jul), beberapa jam selepas tiga kapal dagang diserang di perairan Oman di Selat Hormuz.

Serangan baharu daripada kedua-dua pihak menggugat perjanjian sementara yang dicapai bulan lalu, dengan Amerika Syarikat dan Iran kedua-duanya saling menyatakan bahawa serangan itu melanggar perjanjian awal tersebut. Serangan baharu itu akan menyulitkan lagi rundingan yang bertujuan untuk membuka semula sepenuhnya selat itu, menghentikan program nuklear Tehran yang dipertikaikan dan mencapai penamatan kekal perang yang meletus pada 28 Feb lalu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke media sosial, Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan pasukan tentera Amerika melancarkan serangan itu “sebagai tindak balas terhadap Iran kerana menyasarkan dan menyerang kapal-kapal komersial di laluan air antarabangsa.”

“Pencerobohan yang ditunjukkan oleh Iran adalah tidak wajar, berbahaya, dan merupakan satu pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata,” menurut markas tersebut dalam kenyataannya.

Serangan terbaharu itu menyusuli siri serangan Iran terhadap kapal-kapal dan tindakan balas serupa Amerika Syarikat yang berlaku pada lewat bulan lalu.

Beberapa jam selepas tiga kapal tangki terkena bedilan Iran, Amerika Syarikat membatalkan lesen yang telah membenarkan penjualan minyak Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian sementara untuk menamatkan pertempuran antara Amerika Syarikat dan Iran.

Serangan baharu di laluan perkapalan bagi bahan api itu adalah yang paling banyak dalam tempoh satu hari sejak akhir April, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Serangan baharu itu turut mengancam akan menyekat aliran trafik di selat tersebut sedang negara-negara dunia berharap dapat memulihkan amalan perkapalan yang normal dan mengurangkan tekanan ekonomi global akibat perang.

Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata lesen itu telah dibatalkan menyusuli tindakan Iran di selat tersebut yang tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dipertanggungjawabkan. Pegawai itu bercakap dengan The Associated Press dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan untuk berkongsi pandangan tentang sebab di sebalik langkah itu.

Wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberikan komen.
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita