Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika jangka perjanjian Selat Hormuz dimeterai tidak lama lagi; 3 negara Sunni meterai pakatan pertahanan

Seorang pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (7 Ogos) melaporkan terdapat kemajuan dalam rundingan antara Iran dengan Oman yang berpotensi membuka semula Selat Hormuz dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan eksport minyak yang terjejas akibat perang selama lima bulan antara Amerika Syarikat dengan Iran dipulihkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika jangka perjanjian Selat Hormuz dimeterai tidak lama lagi; 3 negara Sunni meterai pakatan pertahanan

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan bahawa perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz hampir dimeterai, namun Iran terus menafikan bahawa rundingan sedang dijalankan. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 02:07PM
WASHINGTON/RIYADH: Seorang pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (7 Ogos) melaporkan terdapat kemajuan dalam rundingan antara Iran dengan Oman yang berpotensi membuka semula Selat Hormuz dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan eksport minyak yang terjejas akibat perang selama lima bulan antara Amerika Syarikat dengan Iran dipulihkan.

Pegawai Amerika Syarikat itu, yang enggan dikenal pasti, berkata Washington menjangkakan satu perjanjian akan dimeterai tidak lama lagi antara kedua-dua negara yang terletak di kedua-dua belah selat berkenaan, membolehkan trafik minyak kembali bergerak seperti biasa.

Perjanjian antara Iran dengan Oman berhubung kawalan ke atas laluan perairan strategik itu dilihat penting bagi membuka laluan kepada perjanjian damai yang lebih menyeluruh.

"Terdapat kemajuan antara Oman dengan Iran berhubung selat itu dan kami menjangkakan satu perjanjian akan dicapai tidak lama lagi," kata seorang pegawai Amerika Syarikat kepada Reuters pada Jumaat.

"Sebaik sahaja perjanjian untuk memulihkan semula aliran perkapalan komersial tanpa sebarang halangan diumumkan, Amerika Syarikat akan menarik balik kepungan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran."

"Seperti biasa, tindakan Amerika Syarikat akan terus bergantung kepada prestasi dan pelaksanaan komitmen oleh Iran," kata beliau.

Sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, kira-kira satu daripada setiap lima tong minyak yang digunakan di seluruh dunia melalui Selat Hormuz. Namun, Iran menggunakan perang tersebut sebagai alasan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal tangki minyak serta melepaskan tembakan ke arah kapal yang cuba melalui selat tersebut tanpa kebenarannya.

Gangguan terhadap penghantaran minyak itu menyebabkan harga tenaga melonjak dan meningkatkan tekanan inflasi.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pentadbiran Encik Trump berulang kali memberi bayangan bahawa perjanjian untuk membuka semula selat berkenaan hampir dimuktamadkan, namun Iran menafikan rundingan sedang dijalankan.

Ia masih belum jelas sama ada rundingan terbaharu itu akan menghasilkan satu penyelesaian yang lebih berkekalan.

Serangan Iran terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz turut disusuli peningkatan serangan oleh sekutunya di Yaman, kumpulan Houthi, yang menyasarkan kapal di satu lagi laluan sempit perdagangan minyak di antara Laut Merah dengan Teluk Aden, di seberang Semenanjung Arab.

PAKATAN KESELAMATAN BAHARU

Didorong kebimbangan bahawa perang serantau semakin memuncak sehingga menyebabkan peluru berpandu Iran mengena negara-negara pengeksport minyak di Teluk, Arab Saudi, Pakistan dan Turki menandatangani satu perjanjian pertahanan bersama di Makkah pada Jumaat.

Pakatan yang dimeterai tiga sekutu Amerika Syarikat yang majoriti penduduknya beragama Islam Sunni itu bertujuan memperkukuh keupayaan pencegahan bersama terhadap sebarang pencerobohan. Ia turut menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada tiga negara itu akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya, menurut kenyataan bersama negara-negara tersebut.

Turki menegaskan bahawa perjanjian itu tidak menyasarkan mana-mana negara tertentu dan bersifat pertahanan semata-mata. Namun, ia dimeterai ketika ketegangan dengan Iran yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah semakin memuncak.
Sementara itu, Amerika Syarikat turut berusaha menjadi perantara untuk menamatkan pertempuran di satu lagi medan perang antara Israel dengan kumpulan Syiah Hezbollah yang disokong Iran di selatan Lubnan.

Seorang pegawai Lubnan berkata pada Jumaat bahawa negaranya dan Israel sudah mencapai satu kata sepakat berhubung satu senarai pendek negara yang boleh menghantar anggota tenteranya untuk mengesahkan pelucutan senjata Hezbollah di bawah perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat akan memilih negara-negara daripada senarai tersebut.
PRESIDEN IRAN PERTAHAN USAHA DIPLOMASI

Washington dan Tehran tidak mengadakan rundingan langsung di peringkat tertinggi sejak Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance bertemu dengan para pegawai Iran di Switzerland pada Jun, tidak lama selepas kedua-dua pihak mencapai perjanjian gencatan senjata.

Memorandum persefahaman bertarikh 17 Jun itu, yang tidak tahan lama, menetapkan syarat bagi menyambung semula penghantaran minyak melalui Selat Hormuz dan membawa kepada gencatan senjata.

Di tengah-tengah tentangan dalaman terhadap perjanjian tersebut di Amerika Syarikat dan Iran, permusuhan kembali tercetus pada 7 Julai sebelum sekali lagi dihentikan. Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) tidak melaporkan sebarang serangan ke atas Iran sejak 29 Julai.

Para enganalisis berkata tanda-tanda perbezaan pendirian antara Presiden Iran Masoud Pezeshkian dengan pusat-pusat kuasa lain di negara itu, khususnya Pemimpin Tertinggi Ayatollah Mojtaba Khamenei dan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), mungkin merumitkan usaha damai.

Dalam satu temu bual yang disiarkan di televisyen negara pada Jumaat, Encik Pezeshkian mempertahankan dasar pemerintahnya daripada kritikan golongan konservatif yang menentang rundingan dengan Amerika Syarikat. Beliau menegaskan bahawa kebanyakan pegawai kanan tentera menyokong rundingan ke arah perjanjian bagi menamatkan pertempuran.

"Musuh terbesar Amerika ialah Chin, mengapa mereka tidak berperang? China meneruskan haluannya sendiri dan menjadi semakin kukuh dari sehari ke sehari. Jika kita boleh mendapatkan hak kita menerusi dialog, mengapa tidak?" kata beliau.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita