Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika jangka Iran pastikan aliran minyak selamat melalui Selat Hormuz, kata Vance

Amerika Syarikat menjangkakan Iran memulihkan aliran minyak dan gas melalui Selat Hormuz ke paras sebelum perang serta memastikan laluan selamat bagi kapal komersial, kata Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance pada Sabtu (8 Ogos), lapor Anadolu Ajansi.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika jangka Iran pastikan aliran minyak selamat melalui Selat Hormuz, kata Vance

Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance berkata Iran sedang berdepan tekanan besar dan mahu perang berakhir. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 09 Aug 2026 11:13AM
  • Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance menyatakan Iran dijangka memulihkan aliran minyak dan gas melalui Selat Hormuz ke tahap sebelum perang serta memastikan laluan kapal komersial selamat.
  • Amerika Syarikat memantau komitmen Iran yang tidak akan mengenakan tol atau menyerang kapal di laluan strategik itu, sambil menilai tindakan sebenar Tehran.
  • Iran dan negara Teluk, termasuk Oman, sedang berbincang mengenai langkah keselamatan maritim, termasuk pembersihan periuk api yang dipasang Iran pada awal perang.
  • Amerika Syarikat menegaskan tekanan terhadap Iran akan diteruskan untuk memastikan kepentingan tenaga dan keselamatan dicapai, serta harga tenaga kekal rendah untuk rakyatnya.
Dijana oleh AI
ISTANBUL: Amerika Syarikat menjangkakan Iran memulihkan aliran minyak dan gas melalui Selat Hormuz ke paras sebelum perang serta memastikan laluan selamat bagi kapal komersial, kata Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance pada Sabtu (8 Ogos), lapor Anadolu Ajansi.

“Jangkaan kami ialah jumlah minyak dan gas yang keluar dari Teluk akan kembali sama seperti sebelum perang bermula.

“Namun, kami tidak hanya mempercayainya. Kami akan mengesahkannya,” kata Encik Vance kepada Fox News sambil menambah bahawa Iran menyampaikan hasrat tersebut kepada Washington.

Encik Vance berkata Washington turut memantau kenyataan Iran berhubung kemungkinan mengenakan tol terhadap kapal-kapal yang melalui laluan perairan strategik tersebut.

“Pihak Iran telah memberitahu kami bahawa mereka tidak bercadang mengenakan tol di Selat Hormuz,” kata beliau sambil menambah bahawa Amerika Syarikat akan menilai Tehran berdasarkan tindakannya.

Beliau berkata Iran dan negara-negara Teluk, khususnya Oman sedang membincangkan langkah bagi memastikan trafik maritim terus berlangsung dengan selamat.

Menurut Encik Vance, Iran sudah menempatkan “sejumlah besar periuk api” pada awal perang, menjadikan usaha pembersihan periuk api serta pembentukan sistem pelayaran selamat antara isu utama yang sedang ditangani.

“Apa yang sedang kami usahakan sekarang ialah bagaimana untuk mewujudkan sistem trafik supaya kapal dapat melalui kawasan itu dengan selamat. Ini sudah tentu termasuk usaha pembersihan periuk api,” kata beliau.

Kata Encik Vance, Amerika Syarikat turut menjangkakan Iran memberi komitmen untuk tidak melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal komersial.

“Itu juga termasuk komitmen daripada Iran bahawa mereka tidak akan melepaskan tembakan terhadap kapal komersial,” kata beliau.

Encik Vance berkata Iran sedang berdepan tekanan besar dan mahu perang itu berakhir, namun persoalan utama ialah sama ada sistem pemerintah negara itu mampu memenuhi perkara yang dianggap Washington perlu bagi mencapai satu perjanjian.

Beliau berkata Amerika Syarikat sedang berusaha memastikan kepentingannya dalam perang berkenaan tercapai.

“Kami telah memusnahkan program nuklear mereka, memusnahkan kekuatan ketenteraan konvensional mereka dan mengurangkan secara drastik keupayaan ketenteraan asimetri mereka.

“Sekarang, kami cuba melihat sama ada mereka bersedia melakukan perubahan jangka panjang yang diperlukan untuk mewujudkan hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat. Jika tidak, itu juga tidak mengapa.

“Kami akan terus mengenakan tekanan yang mampu kami lakukan dan memastikan sebanyak mungkin minyak dan gas terus keluar dari Timur Tengah supaya rakyat Amerika dapat menikmati harga petrol dan tenaga yang lebih rendah,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita