Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika-Iran berselisih isu pemeriksaan nuklear

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika-Iran berselisih isu pemeriksaan nuklear

Jengkaut dilihat di pintu masuk terowong Loji Pengayaan Bahan Api Fordow, seminggu selepas serangan Amerika Syarikat ke atas tiga tapak nuklear Iran pada awal 22 Jun 2026. (Gambar: Maxar Technologies menerusi AFP)

Diterbitkan : 24 Jun 2026 08:03AM
DUBAI: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada Selasa (23 Jun) mendakwa Iran sudah bersetuju untuk menerima pemeriksaan nuklear "tanpa sebarang had masa", walaupun Tehran menafikan perkara itu, sedang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan usaha memindahkan beratus-ratus kapal dari Teluk sebagai tanda awal kembalinya tempoh tenang selepas perjanjian damai yang masih rapuh.

Agensi perkapalan PBB memaklumkan bahawa pelan pemindahan bagi membolehkan kira-kira 11,000 pelaut yang terkandas di atas kapal di Teluk belayar melalui Selat Hormuz sedang dijalankan.

Laluan strategik itu sebelum ini disekat oleh Iran semasa perang.

"Kami kini sudah mula menghubungi kapal-kapal berkenaan untuk memulakan proses pemindahan," kata jurucakap Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) PBB tanpa memberikan tempoh masa khusus.

Beliau menambah bahawa agensi itu telah memperoleh "jaminan keselamatan yang diperlukan" dan mengesahkan keadaan yang sesuai untuk pelayaran selamat.

Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez, berkata operasi berskala besar itu akan dilaksanakan dengan kerjasama rapat Iran, Oman, negara-negara lain, Amerika Syarikat serta industri maritim.

Dalam satu lagi petanda pengenduran ketegangan, Washington bersetuju menggantung sekatan terhadap Iran selama 60 hari bermula Isnin lalu selepas pusingan pertama rundingan diadakan di bawah perjanjian damai yang dicapai minggu lalu bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan lebih tiga bulan.

Encik Trump turut berkata aset-aset Iran yang dibekukan sebelum ini akan digunakan untuk membeli bekalan kemanusiaan dari Amerika Syarikat.

Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance berkata rundingan dengan pegawai Iran di resort Buergenstock, Switzerland, mewujudkan asas yang baik ke arah perjanjian muktamad dan Tehran bersetuju membenarkan pemeriksa nuklear kembali ke negara itu.

Bagaimanapun, Iran menafikan bahawa program nuklearnya dibincangkan dalam rundingan yang diantarakan Qatar dan Pakistan, serta menegaskan bahawa ia tidak bersetuju untuk mengundang semula pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmail Baghaei berkata pegawai Iran tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Ketua IAEA, Rafael Grossi, di Switzerland dan tidak mempunyai rancangan untuk membenarkan badan pemantau nuklear PBB itu memeriksa kemudahan nuklear Iran yang rosak akibat serangan Amerika Syarikat.

Encik Trump membalas penafian Iran itu pada Selasa, yang menurutnya merupakan satu "bantahan dan kenyataan palsu".

"Iran telah bersetuju sepenuhnya untuk menerima pemeriksaan nuklear pada tahap tertinggi untuk tempoh yang sangat lama (selama-lamanya)," kata Encik Trump menerusi catatan di platform Truth Social.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang aset Iran yang dibebaskan di bawah perjanjian itu akan ditempatkan dalam akaun amanah (escrow) dan digunakan untuk membeli makanan serta bekalan perubatan dari Amerika Syarikat, termasuk jagung, gandum dan kacang soya daripada petani Amerika.

Awal dari itu, Duta Iran ke PBB di Geneva, Ali Bahreini, menafikan bahawa sebarang persetujuan sedemikian sudah dicapai.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita