Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika-Iran berbalas serangan; rumitkan usaha tamatkan perang

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika-Iran berbalas serangan; rumitkan usaha tamatkan perang

Para pengguna jalan raya melepasi sebuah sepanduk besar yang memaparkan penutupan Selat Hormuz di Tehran pada 3 Jun 2026. (Gambar fail: AFP/Atta Kenare)

Diterbitkan : 07 Jun 2026 07:12AM
  • Tentera Amerika Syarikat menyerang tapak radar Iran di Selat Hormuz selepas memintas dron yang dipercayai menyasarkan kapal dagang pada 6 Jun.
  • Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan Amerika Syarikat di Kuwait dan Bahrain, namun kebanyakan peluru berpandu berjaya dipintas tanpa korban jiwa.
  • Kedua-dua negara masih terlibat dalam rundingan damai secara tidak langsung, dengan Pakistan bertindak sebagai perantara dan Iran menuntut pelepasan aset serta penamatan sekatan.
  • Ketegangan ini menyebabkan gangguan perdagangan minyak dunia, kenaikan harga bahan api, dan tekanan politik domestik terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat menyerang tapak radar pesisir pantai Iran pada Sabtu (6 Jun) selepas memintas dron yang dilancarkan Iran ke arah Selat Hormuz, menurut pihak tentera Amerika Syarikat, dalam perkembangan terbaharu yang merumitkan usaha menamatkan perang antara kedua-dua negara.

Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa pihak tentera percaya empat dron Iran menyasarkan trafik perkapalan di rantau berkenaan.

Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menerusi platform X memaklumkan bahawa Amerika Syarikat kemudian menyerang tapak pengawasan Iran di Goruk dan Pulau Qeshm, yang kedua-duanya terletak di Selat Hormuz.

Kementerian Luar Iran menegaskan Amerika Syarikat melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 8 April, sambil menambah bahawa pelanggaran berulang kali menunjukkan Washington tidak mempunyai niat untuk mengendurkan ketegangan.

Ia turut memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan menanggung padah daripada “tindakan haram” tersebut dan sekiranya perang semakin merebak dan menjadi lebih tegang.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pula menyatakan mereka menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat, selain melepaskan tembakan ke arah empat kapal tangki yang cuba melintasi Selat Hormuz tanpa kebenaran Iran.

Tentera Kuwait menyatakan pada Sabtu (6 Jun)bahawa mereka berjaya memintas tujuh peluru berpandu balistik yang melintasi kawasan perumahan, menyebabkan kerosakan harta benda tetapi tiada kemalangan jiwa.

Di Bahrain, semboyan amaran dibunyikan dan penduduk diarahkan mendapatkan perlindungan.

Kuwait dan Bahrain mengecam serangan tersebut. Iran kemudian mendakwa ia melancarkan peluru berpandu balistik ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di kedua-dua negara itu, namun tentera Amerika Syarikat menyatakan enam peluru berpandu berjaya dipintas manakala satu lagi gagal mencapai sasarannya.

Amerika Syarikat dan Iran kini terlibat dalam rundingan yang kebanyakannya berjalan secara tidak langsung bagi mencapai perjanjian sementara untuk menghentikan perang yang sudah berlarutan selama tiga bulan, dengan isu-isu lain termasuk program nuklear Iran akan dibincangkan dalam rundingan seterusnya.

Namun, perjanjian itu masih belum tercapai kerana kedua-dua pihak terus terlibat dalam pertempuran berkala.

Tehran menuntut akses kepada berbilion dolar hasil minyaknya, pengecualian sekatan terhadap eksport minyak mentah, penamatan kepungan Amerika Syarikat ke atas pelabuhannya serta pengaruh terhadap Selat Hormuz.

Iran turut menyekat laluan perairan itu, yang sebelum perang mengendalikan kira-kira seperlima perdagangan minyak dunia.

Media pemerintah Iran melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi tiba di Tehran pada Sabtu (6 Jun) untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi. Pakistan berperanan sebagai perantara dalam usaha menamatkan perang tersebut.

Menurut agensi berita separa rasmi ISNA, Encik Naqvi berkata beliau membawa “surat khas” daripada Panglima Tentera dan Perdana Menteri Pakistan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula berdepan tekanan politik domestik yang semakin meningkat untuk menamatkan perang menyusuli kenaikan harga bahan api.

Beliau memberitahu NBC bahawa walaupun kebanyakan kemudahan pengeluaran dron dan peluru berpandu Iran sudah dimusnahkan, Iran masih memiliki kira-kira seperlima daripada stok peluru berpandunya.

“Mereka masih mempunyai beberapa peluru berpandu dan dron. Dari segi jumlah, mungkin sekitar 21 hingga 22 peratus daripada peluru berpandu mereka. Ia masih banyak, tetapi tidak sebanyak ketika kami mula menyerang,” kata Encik Trump dalam rancangan Meet the Press, menurut petikan yang dikeluarkan rangkaian televisyen itu pada Jumaat.

Apabila ditanya mengapa pemimpin Iran masih belum menunjukkan kecenderungan untuk mencapai perjanjian walaupun berada dalam keadaan terdesak seperti yang digambarkannya, Encik Trump menjawab: “Kerana mereka kuat. Mereka angkuh. Ada perkara yang mereka tidak pernah sangka perlu lakukan, tetapi kini mereka tiada pilihan. Ia cuma memerlukan sedikit masa.”

Selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, Tehran menyerang negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sebahagian besarnya menghentikan aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz.

Perang itu menyebabkan harga minyak meningkat dan mengganggu rantaian bekalan pelbagai barangan lain, termasuk bantuan kemanusiaan.

Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, memberitahu CNN pada Jumaat bahawa perjanjian damai bergantung kepada kesediaan pentadbiran Presiden Trump untuk melepaskan aset Iran bernilai AS$24 bilion (S$30.9 bilion) yang dibekukan.
 
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita