Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika hampir jadi pengeksport bersih minyak mentah buat kali pertama sejak Perang Dunia II

Amerika Syarikat hampir menjadi pengeksport bersih minyak mentah minggu lalu buat kali pertama sejak Perang Dunia II apabila penghantaran melonjak hampir ke paras rekod bagi memenuhi permintaan daripada pembeli di Asia dan Eropah, yang berebut-rebut mencari pengganti bekalan Timur Tengah yang terjejas akibat perang Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika hampir jadi pengeksport bersih minyak mentah buat kali pertama sejak Perang Dunia II

Kapal tangki kimia dan minyak berlabuh di pelabuhan New York di New York City, Amerika Syarikat, pada 14 April 2026. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

Diterbitkan : 16 Apr 2026 12:13PM
HOUSTON: Amerika Syarikat hampir menjadi pengeksport bersih minyak mentah minggu lalu buat kali pertama sejak Perang Dunia II apabila penghantaran melonjak hampir ke paras rekod bagi memenuhi permintaan daripada pembeli di Asia dan Eropah, yang berebut-rebut mencari pengganti bekalan Timur Tengah yang terjejas akibat perang Iran.

Perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran mencetus gangguan terbesar yang pernah berlaku dalam pasaran tenaga global.

Pada masa yang sama, ancaman Iran terhadap perkapalan menyebabkan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia tidak dapat melalui laluan perairan Selat Hormuz.

Penapis minyak di Asia dan Eropah yang bergantung kepada bekalan tersebut bertindak balas dengan membeli kargo-kargo alternatif dari pelbagai sumber yang boleh didapatkan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap minyak dari Amerika Syarikat, pengeluar terbesar dunia.

Namun, para penganalisis dan pedagang berkata Amerika Syarikat kini hampir mencapai kapasiti eksportnya.

Import bersih minyak mentah, iaitu perbezaan antara import dan eksport, menyusut kepada 66,000 tong sehari minggu lalu, paras terendah dalam rekod data mingguan sejak 2001, menurut data pemerintah Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu.

Jumlah eksportnya pula meningkat kepada 5.2 juta tong sehari, paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.

Secara tahunan, kali terakhir Amerika Syarikat menjadi pengeksport bersih minyak mentah adalah pada 1943, menurut data tersebut.

Peningkatan eksport minyak mentah Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pembeli di rantau Atlantik dan Asia kini semakin mencari bekalan dari sumber yang lebih jauh, dengan perbezaan harga minyak antara rantau mengimbangi kos penghantaran, kata Naib Presiden pasaran minyak di Rystad, Janiv Shah.

Negara seperti Greece turut membeli minyak mentah Amerika Syarikat buat kali pertama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kira-kira 2.4 juta tong sehari, atau sekitar 47 peratus daripada eksport Amerika Syarikat minggu lalu dihantar ke Eropah, menurut perkhidmatan penjejakan kapal Kpler.

Sekitar 1.49 juta tong sehari, atau kira-kira 37 peratus, menuju ke Asia, meningkat daripada 30 peratus setahun lalu.

Pembeli utama termasuk Belanda, Jepun, Perancis, Jerman dan Korea Selatan.

Sebuah kapal yang membawa 500,000 tong minyak mentah turut memberi isyarat bahawa ia sedang berada dalam perjalanan ke Turki, menandakan eksport pertama Amerika Syarikat ke negara itu dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun, menurut data Kpler.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita